Aura Messi rancakkan MLS
PENYERANG kelab Ligue 1 Perancis, Paris St Germain (PSG), Neymar Jr mengakui mengetahui Lionel Messi akan menyertai kelab Liga Bolasepak Utama Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami.
Malah bintang Brazil itu meramalkan kejuaraan tertinggi bola sepak Amerika Syarikat (AS) dijangka berubah kerana populariti pemain kapten pasukan bola sepak Argentina tersebut.
Messi yang berusia 35 tahun pada Rabu mengumumkan untuk membawa bakatnya ke South Beach selepas kontraknya dengan juara Perancis itu tamat akhir bulan ini.
“Saya sudah tahu. Messi adalah antara seorang kawan baik saya, ia adalah hadiah yang diberikan sukan bola sepak kepada saya untuk berpeluang bertemu, bermain dan kemudian menjalin persahabatan dengan Messi yang begitu indah.
“Saya memberitahunya dia akan sangat gembira di bandar itu untuk gaya hidup, peluang tinggal dan bermain di Miami.
"Saya pasti Leo akan merancakkan liga di Amerika Syarikat. Saya percaya liga akan menjadi lebih popular, jadi semua orang perlu mengambil kesempatan dan menikmati menontonnya bermain, kerana tiada apa yang kekal selama-lamanya,” kata Neymar.
Pemain Brazil tersebut dan bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona dan PSG sebelum itu melawat pemain bola keranjang Jimmy Butler di Florida sebelum perlawanan ke-4 Jumaat di Pusingan Akhir Liga Bola Keranjang Amerika Syarikat (NBA).
Dalam pada itu, Butler, enam kali NBA All-Star, yang teruja dengan perpindahan Messi ke Inter Miami menyifatkan pemenang Piala Dunia Qatar 2022 berkenaan akan melakukan banyak kebaikan untuk bola sepak AS.
"Sekarang dia berada di sini, saya percaya semua peminat bola sepak di seluruh dunia akan datang untuk melihatnya bertanding. Saya gembira dia ada di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!