Jiwa Garnacho lencana Argentina

Garnacho (kiri) bersama Ten Hag. - Foto Agensi
Garnacho (kiri) bersama Ten Hag. - Foto Agensi
A
A
A

PENYERANG Manchester United, Alejandro Garnacho teruja menantikan penampilan sulungnya bersama Argentina apabila menegaskan keputusan untuk menyarung jersi keramat juara Piala Dunia Qatar 2022 tersebut adalah muktamad.

Dilahirkan di Sepanyol, pemain berusia 18 tahun itu dipanggil untuk perlawanan persahabatan Argentina menentang Australia, tidak teragak-agak untuk beraksi bersama Lionel Messi dengan juara dunia tersebut.

"Saya rasa diri Argentina, jiwa seorang Argentina. Mereka menyandarkan harapan dan ia jelas kepada saya.

"Pasukan senior bola sepak Argentina adalah pasukan kebangsaan sangat besar, peluang yang sangat baik dan seluruh keluarga sangat gembira serta menyokong saya dari minit pertama," kata Garchacho.

Garchacho, yang mengharungi musim cemerlang bersama United, mengalami kecederaan buku lali dan terlepas peluang dipanggil pengendali Argentina, Lionel Scaloni untuk perlawanan persahabatan menentang Panama dan Curacao pada Mac lalu.

Bulan lalu, dia juga terlepas peluang untuk mewakili Argentina pada Piala Dunia Bawah 20 tahun di negara Amerika Selatan itu yang menggantikan Indonesia sebagai tuan rumah.

"Saya banyak bercakap dengan pengendali Manchester United, Erik ten Hag dan memintanya untuk melepaskan saya pergi, namun dia berkata ia adalah mustahil.

"Namun begitu saya tetap tenang mengikuti perlawanan Argentina di televisyen seolah-olah saya berada di sana," katanya.

Sebagai rekod, Peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pemain dua kewarganegaraan menukar pasukan kebangsaan selagi mereka tidak bermain lebih daripada tiga perlawanan (termasuk perlawanan persahabatan).

Namun dengan kemungkinan masih dipanggil oleh Sepanyol, Garnacho berkata, dia tidak sabar-sabar untuk meneruskan kerjaya bersama Argentina.

"Saya tidak perlu bermain tiga perlawanan. Saya di sini dan jika tidak membuat penampilan sulung dalam jelajah, itu tidak penting. Saya tahu saya mahu bersama Argentina dan ia akan berlaku,

"Saya mahu mencipta kerjaya bersama pasukan kebangsaan Argentina, jika jurulatih mempercayai, saya boleh terus datang. Saya mahu menjadi seorang lagi dan mengambil bahagian dalam Copa America, kelayakan dan Piala Dunia.

"Saya tahu bahawa ramai orang di Argentina menyayangi dan menghargai saya. Saya sudah membuat keputusan untuk bermain untuk Argentina, dan akan membalas perasaan cinta itu di atas padang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!