KADA bina rumah pam baharu tangani masalah bekalan air
KOTA BHARU - Pembinaan rumah pam baharu yang dianggarkan bernilai RM40 juta oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Bachok dan Pasir Puteh dijangka mampu menyelesaikan masalah bekalan air ke sawah padi di kawasan berkenaan.
Pengerusinya, Muhamad Husain berkata, cadangan itu sekali gus memberi manfaat kepada lebih 3,000 petani di kedua-dua kawasan tersebut.
"Ini salah satu ikhtiar terbaharu KADA dalam menyelesaikan masalah dihadapi oleh petani yang melibatkan 9,750 hektar.
"Buat masa ini kita sedang melakukan kajian dan mencari lokasi terbaik untuk membina rumah pam tersebut.
"Langkah itu selari dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan lagi sistem pengairan di KADA," katanya kepada pemberita selepas melaporkan diri pada hari pertama sebagai Pengerusi KADA di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Muhamad memberitahu, projek pembinaan pam Kemubu 3 bernilai RM27 juta yang bermula 1 Jun lalu dan dijangka siap pada Jun 2025 itu mampu menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan KADA.
"Pam ini boleh menyedut air di paras yang lebih rendah iaitu 2.0 berbanding 3.4 meter ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!