[VIDEO] Lelaki mengamuk tak dipanggil 'baby' dijel 7 hari
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Padah membaling minuman panas pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun selepas berang tidak dipanggil abang atau 'baby', seorang gelandangan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam kerana melakukan kemudaratan awam, awal bulan ini.
Bagaimanapun, Mohd Asri Abdullah, 50, terpaksa meringkuk di Penjara Satelit Beranang di sini selama tujuh hari, selepas gagal membayar denda tersebut.
Dia dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran kepada publik di sebuah restoran di Putra Heights, Subang Jaya, di sini pada jam 9 pagi, 4 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda sehingga RM 400.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu iaitu pemilik premis bersama pekerjanya sedang melayan pelanggan yang sering membeli makanan di restoran itu.
Pelanggan itu memberitahu pekerja berkenaan supaya memanggilnya abang atau 'baby', dan bukan gelaran pakcik.
Tindakan pekerja tidak menghiraukan permintaannya menyebabkan suspek membaling bungkusan nasi dan air nescafe panas lalu terkena pada anak lelaki pengadu yang berumur empat tahun.
Dia yang juga bekas pemandu lori turut mengamuk dengan menendang meja, membaling kerusi, meludah, mengatakan sesuatu dengan bahasa yang kurang faham dan berkelakuan pelik.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman mencadangkan lelaki itu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan sebelum mahkamah menjatuhi hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!