Bekas pemimpin UMNO diingat tidak jadi parasit

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan disiplin digantung atau dipecat diminta tidak bersekongkol dengan orang luar atau musuh semata-mata mahu memburukkan parti.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, golongan tersebut juga tidak sepatutnya mencampuri urusan UMNO.

"Berhenti jadi parasit yang membusukkan UMNO. Sudah dipecat tidak perlu campur urusan UMNO. Mulut kata benci tapi dalam hati ada taman. Jangan meroyan dan jangan 'menyasau' bila sudah tak tinggal lagi dalam rumah UMNO.

"Jangan lagi bersekongkol dengan orang luar atau musuh UMNO. Masa kamu sudah tamat, sudah sampai masa untuk pilih antara kesetiaan kepada parti ataupun kepentingan diri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, golongan berkenaan diingatkan tidak melupakan jasa UMNO yang membuatkan mereka berjaya sebagai pemimpin sebelum ini.

"Balaslah jasa UMNO dengan bantu perkukuhkan parti dan bukannya lupa diri sehingga mahu hancurkan parti secara senyap.

"Berilah sokongan kepada pemimpin-pemimpin yang telah dipilih semasa mesyuarat pemilihan yang lalu sebagaimana parti berikan sokongan kepada kamu sehingga kamu berjaya duduk di puncak kuasa sebelum ini," katanya.

Tegasnya, UMNO tidak boleh lagi beri muka kepada golongan pengkhianat ini kerana parti sudah cukup banyak luka dan derita akibat perbuatan musuh dalam selimut ini.

"Jika ada orang hendak serang dan rosakkan rumah UMNO, kita semua wajib pertahankan dengan segala apa kudrat yang ada. Jika ada orang cuba nak serang ahli keluarga UMNO, kita juga wajib bersama-sama mereka untuk melawan.

"Jika ada manusia-manusia jijik seperti ini, kita wajib pulaukan mereka. Dan jika perlu kita mesti halau dia keluar dari rumah UMNO.

"Cukup-cukuplah UMNO, tak boleh lagi beri muka kepada pengkhianat ini yang telah mendapat kekayaan semasa berada dalam UMNO. Bersatulah kita dan tumpukan usaha untuk terus memperkukuhkan parti keramat UMNO," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!