Keputusan representasi ketiga pemilik kelab Crackhouse 26 Jun

Mohamad Rizal Johan Van Geyzel - Foto Bernama
Mohamad Rizal Johan Van Geyzel - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan kes bagi keputusan representasi ketiga oleh pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel yang berdepan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum.

Hakim, N Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman berkata, representasi berkenaan telah diterima pada 7 Jun lalu.

“AGC (Jabatan Peguam Negara) masih meneliti dokumen berkenaan dan berada di peringkat kajian,” katanya.

Sementara itu, peguam, M Pravin yang mewakili pemuda berusia 40 tahun ini, memohon sebutan kes seterusnya dibuat pada waktu petang kerana kekangan tugas.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mohamad Rizal didakwa atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Hantaran itu dibaca di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada jam 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Lelaki ini telah menghantar dua representasi pada Januari dan April lalu, bagi menggugurkan tiga pertuduhan itu, namun ia ditolak.

Dia kemudiannya memfailkan representasi ketiga pada 31 Mei lalu, kepada AGC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!