RHB Islamic, PNB serah zakat RM600,000
BACHOK - RHB Islamic Berhad (RHB Islamic) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bekerjasama menyerahkan zakat RM600,000 bagi perlaksanaan Projek Ternakan Ayam Kampung Kacuk oleh komuniti B40 di Kelantan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, inisiatif yang akan dijalankan melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu bagi memperkasa serta melestarikan tahap sosioekonomi kumpulan sasar di negeri berkenaan.
“RHB sehingga Disember tahun ini akan mengagihkan zakat berjumlah RM8 juta berbanding RM6 juta pada tahun lalu.
“Kali ini kerjasama julung kali bersama dengan pihak universiti sebagai rakan pelaksana program yang bertanggungjawab menguruskan pembangunan ladang, bimbingan dan latihan kepada peserta sehingga hasil ternakan dapat dipasarkan,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Usahasama Strategik antara RHB Islamic dan PNB bagi penyerahan zakat itu di UMK Kampus Bachok, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB, Datuk Mohd Nizam Zainordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah.
Adissadikin berkata, matlamat jangka panjang program memfokuskan meningkatkan taraf hidup peserta sekali gus mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan dan mengukuhkan keterjaminan makanan dalam negara.
“Kami terus komited dalam aspek pengurusan kewangan yang adil dan pengagihan semula kekayaan melalui zakat supaya memberikan fasiliti lebih baik termasuk pendidikan kepada golongan kurang bernasib baik.
“Kit akan ada lebih banyak kerjasama dengan universiti-universiti lain selepas ini dalam usaha mengintergrasikan kewangan sosial Islam,” ujar beliau.
Sementara itu, Dr Arham berkata, program akan disertai 60 individu B40 antaranya ibu tunggal dan yatim yang akan dibangunkan di Bachok melibatkan pembinaan infrastruktur pemeliharaan, rumah penetasan telur dan sistem pemprosesan makanan ternakan.
“Program akan segera bermula dengan lima hingga enam pusingan hasil dan mampu mengeluarkan lebih 60,000 ayam untuk dipasarkan dalam tempoh setahun.
“Kejayaan itu akan meningkatkan pendapatan golongan sasar sekitar 20 hingga 30 peratus selain melepaskan mereka daripada garis kemiskinan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!