Kerajaan bentang data gaji secara suku tahun

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kerajaan akan membentangkan data gaji negara secara suku tahun bermula Ogos depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, tindakan tersebut dibuat sebagai langkah menumpukan pengurangan jurang gaji yang dialami semua industri di negara ini.

Menurut beliau, cadangan berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini sebelum dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

"Di peringkat perancangan, kita terima hakikat bahawa pertumbuhan gaji di negara (berlaku) perlahan.

"Kita mahu menyelesaikan soal nisbah pampasan gaji kepada pekerja berbanding nilai ekonomi yang dijana oleh KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang masih di belakang dari sasaran.

"Tetapi yang lebih mendesak adalah purata gaji yang memang rendah dan sebab itu, kerajaan akan menerbitkan statistik secara setiap suku tahun sebagai langkah menumpukan kepada bagaimana menutup jurang gaji yang rendah," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Panduan dan Aplikasi BelanjawanKu 2022/2023 pada Selasa.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengumumkan statistik berkenaan secara tahunan yang disusun berdasarkan survei bagi mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja sepenuh masa atau setaraf.

Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan, kerajaan sudah bersedia dengan pembentangan fasa pertama hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

"Saya berharap masyarakat mula 'track salary' supaya fokus mereka sama sebagaimana kos sara hidup dan jurang gaji," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada data tersebut bakal menimbulkan tekanan kepada majikan, Rafizi berkata, statistik yang dikeluarkan akan membantu orang ramai untuk memberi tumpuan mengenai tarif gaji masing-masing.

"Sebenarnya ia sebagai penanda aras kerana pasaran pekerjaan adalah terbuka. Contohnya satu bakat untuk kerja khusus, ini adalah purata gaji industri berkenaan, tidak seharusnya ditawarkan gaji lebih rendah.

"Saya berharap di pasaran kelak, ada persaingan yang kompetitif untuk 'biding of talent' kerana majikan berterusan tidak mahu menawarkan gaji lebih tinggi. Sudah tentu mereka akan berdepan dengan masalah tenaga kerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!