KKM semak semula keperluan sebenar tenaga kerja kesihatan
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan satu kajian baharu tahun ini untuk menyemak semula keperluan sebenar negara bagi pelbagai kategori sumber manusia untuk kesihatan, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, kajian itu akan mengambil kira impak polisi baharu yang diperkenalkan selepas 2016 dan juga keperluan kesihatan rakyat.
"Dengan ini, taburan dan keperluan anggota kesihatan untuk seluruh negara dapat dipetakan dan diunjurkan dengan jelas," katanya dan menambah KKM akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan dasar dan perancangan kesihatan yang dirangka adalah bertepatan dengan keperluan rakyat.
Beliau berkata, kajian itu akan menjadi bahan bukti ke arah penyediaan pelan implementasi bagi strategi dalam Kertas Putih Kesihatan.
"Pelan jangka panjang ini adalah untuk memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya.
Mengenai keputusan JPA menghentikan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, Dr Zaliha berkata, ia merupakan dasar terdahulu yang dibuat berpandukan dapatan suatu kajian oleh KKM yang menunjukkan unjuran bekalan pegawai perubatan akan mengalami kelebihan bekalan mulai 2026 hingga 2030.
Bagaimanapun, katanya, kajian itu adalah berdasarkan data dari 2008 hingga 2015 dan kurang menggambarkan situasi semasa.
Dr Zaliha berkata, unjuran tenaga kerja kesihatan boleh ditambah baik dengan mengambil kira perubahan dasar kerajaan selepas 2015, keperluan kesihatan pascaCovid-19, perubahan beban penyakit, perkembangan teknologi perubatan dan keperluan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran di sektor awam dan swasta.
Beliau berkata, perancangan tenaga kerja kesihatan secara efektif harus mengambil kira keperluan kesihatan yang dinamik akibat pertambahan penduduk, penuaan masyarakat, peningkatan beban penyakit dan juga kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana kesihatan.
"Sekiranya berlaku kekurangan tenaga kerja kesihatan, ia berpotensi menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan serta menimbulkan beban kerja berlebihan kepada pekerja kesihatan yang sedia ada," katanya.
Oleh itu, katanya, KKM memberi penekanan terhadap perancangan sumber manusia yang holistik dan strategik bagi memastikan bekalan pekerja kesihatan mencukupi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun mengumumkan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!