Elemen antirasuah dalam Rakan Muda

Delegasi Rasuah Busters yang diketuai Nurhayati (dua dari kanan) mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Hannah (tiga dari kanan) di Parlimen pada Selasa.
Delegasi Rasuah Busters yang diketuai Nurhayati (dua dari kanan) mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Hannah (tiga dari kanan) di Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Rakan Muda yang amat terkenal pada era 90an akan diperkenalkan semula dalam tempoh terdekat dengan suntikan nafas baharu yang lebih segar dan dinamik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Rakan Muda akan disuntik elemen antirasuah menerusi modul-modul yang akan diperkenalkan kelak dengan kerjasama Rasuah Busters.

Menurutnya, program yang diperbaharui itu mempunyai 10 modul teras dan kerjasama dengan Rasuah Busters bersesuaian di bawah modul Rakan Mahir serta Rakan Ekspresi dalam menyemai semangat menolak budaya rasuah.

"Apa itu rasuah, urus tadbir yang baik, itu antara yang boleh dibincangkan dalam modul ini, jadi fokus utama kita adalah untuk melahirkan belia lawan rasuah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Parlimen pada Selasa.

Terdahulu, delegasi Rasuah Busters yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Hannah.

Turut serta, Ketua Belia, Media Sosial dan Pemasaran Rasuah Busters, Nik Justin Nik Mohd Ariffin dan Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.

Program Rakan Muda dilancarkan pada 29 Oktober 1994 di Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Mahathir Mohamad.

Idea penubuhan ini tercetus daripada Wawasan 2020 dengan pendekatan untuk memperkukuhkan dan memperkayakan sistem serta orientasi nilai dalam masyarakat.

Misi teras utama program itu adalah bagi melahirkan potensi tertinggi generasi belia supaya mendokong matlamat pembangunan negara.

Ia bagi membolehkan golongan muda untuk mencari identiti diri dan generasinya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, Rasuah Busters boleh memainkan peranan dengan memperkasakan belia secara keseluruhan dengan menyemai jiwa membenci rasuah.

"Sasaran kita adalah boleh melahirkan anak muda yang menjunjung Rukun Negara, nilai moral karakter bangsa dan sudah tentu mahu mereka bersih daripada rasuah," katanya.

Beliau berkata, menerusi kolaboratif itu, belia akan lebih cakna mengenai isu-isu rasuah yang berlaku di negara ini.

"Kerjasama Rasuah Busters di bawah bumbung Rakan Muda ini akan menjadikan belia berkemahiran untuk melawan rasuah.

"Banyak kemahiran berkaitan rasuah ini mereka tidak dapat ketika belajar di sekolah kerana tiada dalam silibus pelajaran, untuk kita wujudkan semangat lawan rasuah ini kita tidak boleh mulakan di peringkat univerisiti kerana terlalu 'tua' kena lebih muda.

"Saya percaya kerjasama ini akan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang sesuai untuk lawan rasuah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!