Lelaki tumbuk, tampar wanita angkara signal

Suspek mengamuk dengan memaki mangsa sempat dirakam.
Suspek mengamuk dengan memaki mangsa sempat dirakam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengamuk sehingga menumbuk dan menampar seorang pemandu wanita gara-gara tidak memberikan signal (isyarat) ketika masuk simpang tular di media sosial.

Kejadian tersebut berlaku di Jalan Datuk Keramat, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Suprintendan Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Dash telah datang dari arah belakang kereta jenis Honda Civic dipandu wanita itu.

"Suspek memaki dan mengeluarkan kata kesat kepada pengadu dengan menuduh wanita tersebut tidak menggunakan isyarat ketika masuk simpang.

"Seterusnya, suspek membuka helmetnya lalu menghentak atas bumbung kereta pengadu," katanya.

Katanya, suspek bertindak agresif menumbuk kepala dan menampar muka pengadu ketika wanita tersebut keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan kereta.

"Pengadu dibantu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan kemudiannya telah membuat laporan polis.

"Pengadu juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Azmi berkata, usaha mengesan suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kes khianat dipergiatkan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sivanathan di talian 016-590 3985 atau talian bebas Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!