Terbuka Indonesia: Pengalaman bezakan Tze Yong, Shi Yuqi

Tze Yong - Foto Badminton
Tze Yong - Foto Badminton
A
A
A

PENGALAMAN ternyata membezakan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika berdepan jagoan China, Shi Yuqi dalam Pusingan Pertama Terbuka Indonesia 2023 yang berlangsung di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta pada Selasa.

Biarpun Tze Yong berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan, namun pemain berstatus 21 dunia akhirnya terpaksa mengalah lawan yang berstatus nombor sembilan dunia dalam aksi 60 minit.

Set pertama menyaksikan Shi Yuqi mengungguli permainan apabila meninggalkan jauh Tze Yong, 21- 7, yang mara ke suku akhir Terbuka Thailand baru-baru ini.

Bagaimanapun Tze Yong yang mengejutkan pilihan utama yang juga pemain ketujuh dunia, Chou Tien Chen di Bangkok kemudian bangkit garang dengan kemenangan 21-17.

Namun kegugupan Tze Yong, 23, dalam set penentuan menyaksikan Shi Yuqi berusia 27 tahun menggunakan pengalaman untuk kembali menguasai permainan dengan melakar kemenangan 21-13.

“Saya akui dalam set pertama perlawanan agak sukar untuk mengawal permainan manakala set penentuan saya agak ketinggalan.

“Jadi untuk mendapat mata pada set penentuan agak gemuruh sedikit. Saya akan berbincang lagi dengan jurulatih,” katanya.

Sementara itu, beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akur kehebatan pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose apabila ditunjukkan jalan keluar 21-18, 23-21 dalam masa 59 minit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!