Wanita ditahan curi barangan kemas RM90,000 milik ahli keluarga
BALIK PULAU - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas bernilai lebih RM90,000 milik ahli keluarganya dalam serbuan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan wanita berusia 34 tahun itu susulan laporan polis dibuat seorang mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan pelbagai barangan kemasnya.
"Mangsa membuat laporan polis pada Sabtu lepas berhubung kehilangan pelbagai barang kemas miliknya bernilai lebih RM90,000 yang diletakkan dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru di sini.
"Berdasarkan siasatan awal, wanita itu menyedari barang kemasnya hilang pada 25 November lepas dan ia dipercayai dicuri oleh suspek pada 5 November, namun mangsa hanya membuat laporan polis pada Sabtu sebelum kami menahan suspek keesokannya (Ahad) di Bayan Baru," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Katanya, ekoran penahanan wanita yang merupakan isteri kepada adik ipar mangsa itu, polis merampas 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram (g) dan satu loket emas seberat 26g.
Kamarul Rizal berkata, siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan suspek yang sebelum ini berniaga makanan kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Wanita itu sekarang ini sudah tidak berniaga makanan dan berdasarkan siasatan dia (suspek) serta mangsa tidak tinggal sekali namun ada pergi ke rumah ibu mentua mangsa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!