Tiga beranak melecur, kereta meletup dan terbakar

Keadaan bahagian dalam kereta yang terbakar. - Foto JBPM
Keadaan bahagian dalam kereta yang terbakar. - Foto JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kesemua mereka berusia antara lima tahun hingga 54 tahun.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.

"PGO kemudian mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar keluar ke lokasi kejadian dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan kebakaran itu membabitkan sebuah kereta terbakar pada bahagian dalam yang membabitkan tiga mangsa.

"Difahamkan, pemandu kereta itu melecur 80 peratus dan isterinya melecur 30 peratus manakala anak mereka melecur hampir 95 peratus.

"Tindakan pihak bomba adalah memastikan api dipadamkan sepenuhnya dan hasil maklumat yang diperolehi, kebakaran dipadamkan oleh orang awam serta pemilik kedai menggunakan alat pemadam api," katanya ketika dihubungi Awani.

Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini penilaian peratusan kebakaran itu masih dalam siasatan.

"Peratusan kebakaran kereta Proton Wira terbabit dianggarkan 60 peratus.

"Operasi tamat pada 1.35 tengah hari dan punca kebakaran itu berlaku dalam siasatan," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!