Rintangan antimikrob dijangka punca 5.2 juta kematian di Pasifik Barat
MANILA - Dianggarkan 5.2 juta penduduk di rantau Pasifik Barat berisiko berdepan kematian akibat jangkitan bakteria yang boleh tahan ubat-ubatan, antara sekarang dan akhir 2030, menurut laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Selasa, lapor Xinhua.
Menurut Impak ketahanan Antimikrob ke atas Kesihatan dan Ekonomi di Wilayah Pasifik Barat 2020-2030 menunjukkan rintangan antimikrob (AMR) akan menyebabkan rantau ini terpaksa membelanjakan anggaran AS$148 bilion antara 2020 dan 2030 - hampir 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan rantau ini pada 2019 - disebabkan kehilangan produktiviti selain keperluan untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan tambahan yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital yang berpanjangan.
Laporan itu memberi amaran bahawa "wabak silang, pandemik senyap" AMR membahayakan kesihatan orang ramai dan mengancam keselamatan dan pembangunan kesihatan serantau pada masa hadapan.
"Pada abad ke-21, kehidupan orang ramai tidak seharusnya disia-siakan kerana jangkitan biasa yang menjadi kebal terhadap rawatan," kata pemangku pengarah wilayah WHO untuk Pasifik Barat, Zsuzsanna Jakab.
Untuk melawan rintangan antimikrob, beliau menekankan mengenai keperluan untuk mengukuhkan sistem pengawasan AMR kebangsaan, mengurangkan penggunaan antimikrobial yang tidak sesuai dan tidak perlu dan bekerja merentas sektor untuk mengembangkan penyelidikan dan pembangunan kepada ubat antimikrob, vaksin dan alat diagnostik baharu.
AMR berlaku apabila bakteria, virus, kulat dan parasit berubah dari semasa ke semasa dan tidak lagi bertindak balas terhadap ubat-ubatan, menjadikan jangkitan lebih sukar untuk dirawat dan meningkatkan risiko penularan penyakit dan penyakit yang teruk.
Akibat kebal kepada ubat-ubatan, antibiotik dan ubat antimikrob lain, pengubatan menjadi tidak berkesan dan jangkitan menjadi semakin sukar atau mustahil untuk dirawat. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!