Pujian pemain nombor dua dunia tonik buat Letshanaa

Letshanaa - Foto BADMINTON PHOTO
Letshanaa - Foto BADMINTON PHOTO
A
A
A

BUKAN sahaja pengalaman berharga diraih ketika saingan Piala Sudirman 2023, tapi pujian pemain nombor dua dunia dari Korea Selatan, An Se Young menjadi 'tonik' buat pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa.

Mengimbau aksi separuh akhir di Suzhaou, China bulan lalu, Letshanaa berpuas hati corak permainan dipamerkan dan perbualannya dengan Se Young selepas perlawanan menyemarakkan lagi semangatnya untuk beraksi lebih baik pada masa depan.

“Kami berdua berbual selepas perlawanan dan Se Young beritahu, saya adalah pemain yang baik tapi perlu perbaiki pukulan depan.

“Sangat manis apabila mendapat pujian daripada pemain nombor dua dunia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada perlawanan separuh akhir Piala Sudirman 2023, Letshanaa yang membuat penampilan pertama tewas 10-21, 13-21 kepada Se Young.

Malaysia tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir dan berkongsi tempat ketiga dengan Jepun yang tewas kepada China 2-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Se Young merupakan pemain perseorangan wanita paling cemerlang ketika ini, dengan memenangi lima daripada lapan kejuaraan termasuk Seluruh England 2023 selepas mengalahkan wakil China Chen Yu Fei 21-17, 10-21, 21-9 pada final, Mac lalu.

Selain berdepan Se Young, Letshanaa yang merupakan pemain pelapis pada edisi 2021 di Vintaa, Finland, turut menyumbang mata apabila menewaskan Tiffany Ho 21-19, 21-12 ketika Malaysia menang 5-0 ke atas Australia dalam aksi kumpulan C Piala Sudirman 2023.

Juara Cabaran Antarabangsa Uganda 2023 itu turut gembira apabila mendapat petua daripada Goh Jin Wei yang menjadi rakan sebiliknya sepanjang saingan di China, terutama untuk tanam dalam minda agar tidak mudah mengaku kalah.

Dia sangat kagum dengan semangat juang Jin Wei yang bangkit mengecewakan bekas juara dunia PV Sindhu 14-21, 21-10, 22-20 sekali gus menyumbang mata membantu skuad negara meraih kemenangan 5-0 ke atas India dalam saingan kumpulan C.

Dengan kemahirannya yang semakin baik, Letshanaa berharap dapat meningkatkan keupayaan bahagian bawah badannya bagi menghadapi permainan berintensiti tinggi jika perlu berdepan pemain di kedudukan lebih tinggi pada masa akan datang.

Letshanaa yang akan menyertai Cabaran Antarabangsa Mongolia pada 27 Jun hingga 2 Julai ini selaku pilihan kedua, menyasarkan untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dalam masa terdekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!