Terengganu digesa terus lahir pemain muda berbakat
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa Terengganu supaya terus melahirkan pemain muda berbakat untuk negara.
Hamidin yang dilantik selaku Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, mengakui Terengganu sudah membuktikan keupayaan melahirkan bukan sahaja pemain bola sepak berbakat tetapi juga atlet dalam sukan lain yang bertaraf dunia.
"Terengganu sememangnya terbukti banyak melahirkan pemain dan atlet yang baik antaranya Safawi Rasid dan jaguh berbasikal trek Datuk Azizulhasni Awang.
"Maka diharap Terengganu terus konsisten lahirkan lebih banyak lagi pemain serta atlet untuk harumkan nama negara di persada dunia,” katanya pada majlis Perjumpaan Amanat Presiden FAM Kepada Kepimpinan Bola Sepak Daerah/ Negeri Terengganu di Kuala Terengganu menurut hantaran Facebook FAM pada Selasa.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa keakraban dan silaturahim adalah penting untuk membentuk barisan pemain atau pasukan yang kuat.
"Jika tidak ada silaturahim yang utuh maka persatuan atau pasukan itu tidak akan pergi jauh. Jika kita ada sifat pentingkan diri sendiri maka yang untung nanti pasukan lawan. Prinsipnya, perlu setia terutama pada ketua,” katanya.
Majlis amanat itu, yang turut diselangi sesi soal jawab, dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), wakil-wakil PBSNT dan wakil sukan persatuan daerah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!