Yayasan Selangor lancar logo baharu
SUBANG JAYA - Yayasan Selangor (YS) memperkenalkan logo baharu bagi mengaktualisasikan semula identitinya selepas 43 tahun selaras penjenamaan semula yayasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif YS, Eddie Ahmad Khodzali berkata, sejajar dengan matlamat Selangor sebagai negeri pintar dan maju, reka bentuk logo diperhalusi dengan membawa ciri-ciri moden dan terkini serta berkeyakinan.
Menurutnya, ia juga seiring dengan wawasan Selangor dalam menjamin dan memberi peluang pendidikan kepada rakyat khususnya di negeri Selangor.
"Logo tersebut direka berasaskan gabungan huruf Y dan S yang membawa maksud Yayasan Selangor manakala penggunaan warna merah kuning merupakan warna yang terdapat pada bendera rasmi Selangor Darul Ehsan.
"Logo baharu ini tampil lebih kemas dan menarik dalam warna bendera Selangor dan reka bentuk yang berimpak mencerminkan pembaharuan, segar dan penjenamaan semula YS," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, logo baharu itu dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu YS di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Beliau menambah, logo baharu itu juga tidak hanya sekadar sebuah gambar tetapi sebuah simbol yang memperkuat dan menguatkan identiti Yayasan Selangor.
"Ia mencerminkan tekad Yayasan Selangor untuk terus maju, beradaptasi dengan perubahan, dan memberikan yang terbaik kepada pemegang taruh.
"Dengan logo baharu ini diharapkan dapat menjadi sumber motivasi dan inspirasi bagi seluruh warga kerja yayasan itu dan juga bagi mereka yang melihatnya.
"Kami berkomitmen untuk terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik dalam mencapai visi dan misi kami," katanya lagi.
Eddie Ahmad berkata, langkah penjenamaan semula Yayasan Selangor bukan langkah mudah namun yayasan itu tampil dengan yakin dan berani dengan perubahan tersebut.
Menurutnya lagi, penjenamaan semula itu bertujuan meningkatkan taraf dan mengukuhkan lagi jenamanya sekali gus membuktikan keterbukaan dalam mengadaptasi corak perubahan semasa selepas 53 tahun penubuhan.
Sejak 2021, Yayasan Selangor mengambil pendekatan proaktif dengan merencana proses penjenamaan semula yang dilihat amat penting bagi memperkuat identiti yang memerlukan citra berpasak pada realiti semasa merangkumi kepentingan masa depan yang lestari.
"Transformasi ini turut memberi peluang untuk menaik taraf imej syarikat dan menstrukturkan semula identiti yang lebih terkini dengan memperkenalkan citra syarikat lebih profesional selain memberi peluang untuk memperbaiki imej dan identiti syarikat," jelasnya.
Pada majlis sama, Yayasan Selangor turut melancarkan Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor (Selestari) 2023 - 2030 sebagai transformasi imej selaras dengan kewibawaan Yayasan Selangor yang kini diberi amanah serta tanggungjawab dalam mengetuai Jawatankuasa Tetap Pendidikan Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!