Pendaki warga Malaysia meninggal dunia

Dr Chin Wui Kin
Dr Chin Wui Kin
A
A
A

SINGAPURA - Seorang pendaki warga Malaysia yang terkandas selama dua malam di Gunung Annapurna, Nepal, sebelum diselamatkan minggu lalu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura (NUH) di sini hari ini.

Menurut portal berita, TODAY, Dr Chin Wui Kin, 49, seorang pakar bius di Hospital Besar Ng Teng Fong di sini pada mulanya dirawat di sebuah hospital di Kathmandu, Nepal sebelum diterbangkan ke Singapura pada hujung minggu lalu untuk rawatan di Hospital NUH.

Portal berita dalam talian itu melaporkan isteri Dr Wui Kin, Thanaporn Lorchirachoonkul, enggan ditemu bual dan memohon privasi.

Laporan itu menyebut upacara sembahyang dan memberi penghormatan terakhir diadakan di sebuah tokong Buddha di Bukit Merah.

Dr Wui Kin terkandas berhampiran Gunung Annapurna selepas terpisah dengan kumpulan 30 pendaki lain ketika menuruni gunung itu pada Selasa lalu.

Mangsa berjaya mendaki gunung setinggi 8,100 meter itu namun gagal kembali ke kem berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer dari puncak. Bagaimanapun, sebuah helikopter penyelamat mengesan Dr Wui Kin melambai dari cerun salji pada awal Khamis sebelum diselamatkan dan diterbangkan ke ibu negara Nepal itu untuk mendapat rawatan.

Sebelum ini, sebuah stesen televisyen melaporkan doktor yang memberi rawatan awal kepada mangsa, dalam Facebooknya (FB) berkata, selain degupan jantung dan suhu badan amat rendah, Dr Wui Kin juga mengalami hipotermia teruk dan mempunyai kesan gigitan fros di bahagian tangan dan kaki. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!