Djokovic kembali nombor 1, Nadal terkeluar kelompok 100 teratas

Djokovic
Djokovic
A
A
A

BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic merampas semula ranking nombor satu dunia daripada Carlos Alcaraz selepas memenangi kejuaraan Grand Slam ke-23 di Terbuka Perancis, manakala Rafa Nadal terkeluar daripada 100 teratas buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Djokovic, 36, melonjak dua anak tangga dalam kedudukan selepas kemenangan di Paris pada hujung minggu lalu.

Alcaraz, bintang Sepanyol yang kecundang kepada Djokovic dalam aksi separuh akhir jatuh ke tempat kedua, manakala Daniil Medvedev yang tersingkir pada pusingan pertama, turut merosot satu tempat ke kedudukan ketiga.

Namun naib juara Roland Garros, Casper Ruud kekal tenang di tempat keempat ranking dunia.

Nadal, juara 14 kali Terbuka Perancis yang tidak bermain sejak Januari akibat kecederaan pinggul semasa Terbuka Australia, jatuh dari tempat ke-15 ke-136 selepas tidak beraksi secara berterusan dalam jelajah itu.

Pemain berusia 37 tahun itu menjalani pembedahan awal bulan ini dijangka berehat selama lima bulan.

Ranking wanita menyaksikan Iga Swiatek mengekalkan kedudukan teratas selepas mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis.

Dia memegang ranking itu sejak April 2022, berpindah ke puncak selepas bintang Australia, Ash Barty mengumumkan persaraannya.

Aryna Sabalenka, yang memenangi Terbuka Australia pada Januari, berpeluang memintas Swiatek, namun tewas kepada Karolina Muchova pada separuh akhir, kekal di tempat kedua.

Sementara itu, finalis Terbuka Perancis, Muchova pula naik dari tangga ke-43 ke tangga 16.

Jessica Pegula pula jatuh dua anak tangga ke ranking kelima, manakala Beatriz Haddad Maia menjadi pemain wanita Brazil pertama meraih kedudukan 10 teratas selepas meluncur laju separuh akhir Terbuka Perancis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!