Pejuang pertikai keistimewaan Zahid jumpa Najib dua jam
SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertikaikan ‘keistimewaan’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibenarkan bertemu dan bersarapan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama dua jam di Penjara Kajang.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tempoh maksimum lawatan banduan yang diberikan hanya 45 minit.
"Pelbagai persoalan kini timbul. Antara yang paling penting adalah bagaimana pertemuan ini diluluskan? Bukankah pertemuan dalam penjara dengan banduan atau orang dalam tahanan terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa?
"Tambahan pula bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?
"Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian sewaktu perayaan? Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang?," soalnya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, Sabtu lalu mendedahkan beliau meluangkan masa hampir dua jam dengan Najib sambil ditemani Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Ahmad Zahid berkata, selain melawat bekas Presiden UMNO itu, beliau turut berkesempatan bersarapan makanan kegemaran Najib.
Justeru, Muhammad Rafique turut mempersoalkan sama ada ahli kabinet campuran lain mengetahui mengenai pertemuan berkenaan atau sebaliknya.
"Pertemuan untuk bincang mengenai pengampunan diraja? Mengapa tidak serah pada peguam sahaja? Atau ahli keluarga?," soalnya lagi.
Muhammad Rafique menegaskan, beliau juga telah mengutus surat kepada Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia bagi mendapatkan penjelasan kerana persoalan mengenai perkara itu ketika ini masih belum dijawab pihak berkaitan.
"Tidak guna laung slogan Madani 'Bermaruah, Berilmu, Berintegriti' sekiranya sekadar retorik. Lagi sekali, apa istimewanya Zahid Hamidi?," soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!