Masalah tekanan air rendah belenggu penduduk
RUANGAN Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap masalah penduduk sekitar Lanchang dekat Temerloh yang berdepan masalah tekanan air rendah khususnya di kawasan tinggi hingga menjejaskan kehidupan harian mereka sejak sekian lama.
Hingga kini, penduduk di kawasan terlibat seperti di Kampung Kenangan, Kampung Orang Asli Sungai Leleh,Taman Setia,Taman Tengku Afzan serta lokasi lain terus menderita akibat masalah tersebut.
Malah ada beberapa kawasan itu telah menghadapi masalah tersebut sejak puluhan tahun lalu hingga empat generasi namun masih belum dapat diatasi sepenuhnya hingga kini.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian Pahang, ROSILAWATI ROSEDI yang menemubual beberapa penduduk di Lanchang berhubung isu tersebut.
Bekalan air adalah kemudahan asas buat manusia dan ia menjadi keperluan utama dalam meneruskan kehidupan harian.
Namun di beberapa lokasi sekitar Lanchang di sini, masalah air tekanan rendah di kawasan tinggi di sini terus membelenggu kehidupan penduduk terlibat.
Situasi itu mengundang pelbagai kesukaran buat mereka dalam meneruskan kehidupan harian masing-masing.
Bagi penduduk di Kampung Kenangan khususnya, 30 buah rumah yang terletak di kawasan tinggi masih berdepan masalah sama sejak lebih 40 tahun lalu hingga kini.
Penduduk mendakwa bekalan air hanya ada untuk tempoh beberapa jam dan menambahkan kesukaran, air yang keluar sangat kecil hingga menyebabkan mereka tidak dapat menyimpan dalam kuantiti sewajarnya.
Malah makin sukar,penduduk mendakwa terpaksa berdepan ketiadaan bekalan air untuk beberapa hari dalam tempoh seminggu.
Seorang suri rumah, Normawati Ismail, 48, memberitahu, penduduk di kawasan terlibat khususnya di kawasan tinggi seperti mereka perlu berjaga setiap awal pagi selain perlu mengeluarkan kos lebih tinggi demi keperluan harian mereka.
"Air keluar pun kecil dalam jam 4 pagi, lepas Subuh, memang tiada langsung. Kalau ada kecil sangat airnya keluar, macam mana nak simpan, tak cukup juga.
"Macam saya ketiadaan air amat memeritkan kerana saya menjaga ibu yang sakit, terlantar akibat strok.
"Masalah ini sudah dihadapi sejak kecil lagi, hingga sekarang masih belum diatasi, sampai bila tak tahu,dah ada cucu pun situasi tetap sama," katanya yang memberitahu terdapat lima orang termasuk dirinya tinggal di rumah tersebut.
Tambah Normawati, keadaan itu semakin kronik sejak selepas Aidilfitri dan musim panas yang melanda negara kini menambahkan keresahan mereka.
"Dulu ada juga pihak terbabit hantar air ke sini tapi sekarang tidak lagi dan macam penduduk seperti kami, kalau ada air 24 jam itu perkara luar biasa," katanya.
Seorang tukang gunting, Zamzilan Osman, 59, terkilan kerana nasib penduduk di kawasan tinggi sepertinya kurang mendapat perhatian susulan masalah tersebut masih belum diatasi hingga kini.
"Saya tumpang basuh baju di rumah saudara, selalu kena beli air mineral sebagai bekalan selain nak solat pun payah bila tak cukup air.
"Dengan dua anak yang masih sekolah, memang bekalan air sangat ditagih. Saya ada beli tangki air yang boleh memuatkan kapasiti 600 gelen tapi tiada gunanya kalau air yang keluar sangat kecil, tak dapat nak tampung banyak," ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.
Rayu Zamzilan, dia berharap pihak berkaitan dapat turun padang ke kawasan mereka dan turut memberikan perhatian sewajarnya demi kemudahan penduduk terlibat.
Dalam pada itu, seorang eksekutif, Saiful Hisham Kamarulzaman, 44, dari Taman Tengku Afzan di sini memberitahu, dugaan ketika dia dan ahli keluarganya terkena Covid-19 sebelum ini adalah salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan berikutan masalah air tersebut.
"Bayangkan ketika itu, air langsung tiada, simpanan air pun tiada juga sampai saya merayu dengan pihak berkaitan supaya hantarkan bekalan air untuk kegunaan keluarga.
"Saya pun ada beli tangki air untuk tambahan tapi tak ada gunanya juga kalau air yang keluar kecil sangat, tekanan angin saja yang kuat.
"Dan memang kena keluar kos lebih, nak basuh baju kena hantar dobi juga disebabkan masalah ini," kata dia mula menetap di taman itu sejak 2018 hingga kini.
Dalam pada itu,seorang peniaga di taman tersebut, G.Subramaniam, 65, mendakwa masalah itu sudah berlaku sejak 15 tahun lalu.
"Kalau air pecah, kita faham tapi bila paip tak pecah, air tetap tiada.. kami sudah muak tapi nak buat macam mana, kena hadapi juga," katanya.
'Tolong cari jalan atasi masalah tekanan air rendah'
Sementara itu, pihak pengurusan berkaitan dituntut supaya turun padang dan menyiasat punca sebenar masalah yang menyebabkan penduduk di kawasan tinggi seperti di Kampung Kenangan sebagai contoh dapat diatasi.
Norliza Othman, 60, dari Kampung Kenangan mengakui, penduduk sepertinya serik dan penat kerana pelbagai usaha serta tindakan susulan dilakukan namun masih belum ada penyelesaian.
"Memang kalau di kawasan bawah kampung tiada masalah, kami yang ada di kawasan tinggi yang masih berdepan situasi tekanan air rendah, kadang-kadang langsung tiada air.
"Turun dan tanya penduduk di kawasan yang bermasalah macam kami ini dan bincang cari jalan terbaik untuk penduduk terlibat.
"Jangan sampai kami hilang keyakinan dengan kerajaan negeri, kalau perlu tambahan booster, naik taraf pam, lakukan sebab ini untuk kemudahan penduduk," katanya.
Ujar Norliza, masalah itu turut mengundang kesulitan buat penduduk khususnya untuk mengadakan kenduri-kendana serta bila berlaku kematian.
"Kalau nak buat kenduri, penduduk yang terlibat kena ambil inisiatif sendiri simpan bekalan air secukupnya menjelang majlis.
"Bila berlaku kematian, memang kena buat di masjid berhampiran tapi sampai bila masalah ini berlarutan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!