Pejalan kaki maut dirempuh kereta
KUANTAN - Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan di Jalan Kuantan-Gambang, Batu 12 di sini pada Selasa.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.49 malam itu, mangsa, S Paradaman, 57, yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, wanita berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu wanita yang memandu kereta jenis Perodua Axia itu dalam perjalanan dari Balok Perdana ke Batu 11 di sini.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki (mangsa) tiba-tiba melintas jalan dari kiri ke kanan.
"Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus dengan keadaan gelap tanpa lampu jalan dan permukaan jalan basah selepas hujan.
"Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!