Berhenti bila lampu isyarat kuning, bukan memecut laju!
MERAK Jalanan sering lihat pemandu kereta memecut laju ketika lampu isyarat telah bertukar ke warna kuning walaupun sebenarnya boleh memberhentikan kenderaan ketika itu.
Perbuatan sedemikian sering kali menjadi punca sesuatu kemalangan, terutamanya jika kenderaan dari arah lain kurang berhati-hati dan terus bergerak sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Terbaharu, seorang penunggang motosikal cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Ipoh, Perak dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva seperti video tular pada Isnin. Pemandu kereta itu mendakwa ketika kejadian, lampu isyarat masih kuning menyebabkannya dia tidak memberhentikan kenderaannya.
Ramai yang salah faham mengenai makna lampu kuning di persimpangan lampu isyarat. Rata-rata beranggapan lampu kuning bermakna bersedia untuk berhenti.
Namun menurut tenaga pengajar kelas pemanduan berhemah yang pernah dihadiri Merak Jalanan, lampu kuning sebenarnya bermakna berhenti dan bukannya bersedia untuk berhenti.
Cuma ada pengecualian perjalanan boleh diteruskan jika berada dalam kawasan tidak selamat untuk berhenti. Jika dah terlalu dekat dengan garisan berhenti, tak akan kita nak lakukan brek mengejut sehingga terangkat tayar belakang.
Kendatipun, usahlah kita menekan pedal minyak rapat ke lantai semata-mata malas menunggu beberapa minit lagi selain beranggapan kenderaan dipandu sempat lepas sebelum lampu bertukar merah.
Jika lepas pun pada saat-saat akhir, bolehkan kita pastikan kereta dipandu sempat melepasi jalan yang bakal dilalui kenderaan dari arah lain yang telah bertukar hijau.
Maka, pilihan paling baik untuk menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya, lampu kuning bermakna berhenti dan bukannya semakin memecut laju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!