Beri mesej simbolik cukup bermakna
KLANG - MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) menjemput orang ramai memeriahkan program Klang Hari Tanpa Kenderaan bertemakan Malaysia Tanpa Rasuah di Laman Seni Safari di sini pada Ahad ini.
Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, pelbagai acara menarik disediakan antaranya berjalan kaki sejauh lima kilometer, kayuhan santai, senamrobik, demonstrasi bomba, food truck dan aktiviti oleh Rasuah Busters buat pengunjung.
Menurutnya, MPK turut menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak seperti pameran buku dan perpustakaan bergerak oleh Perpustakaan Awam Selangor serta acara-acara lain yang pasti bermanfaat buat warga Klang.
“Orang ramai turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat beberapa agensi penting yang mengambil bahagian antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor yang akan membuka ruang pameran mereka,” katanya.
Dalam pada itu, MPK akan menutup sebahagian jalan bagi melancarkan penganjuran program yang melibatkan Jalan Tengku Kelana termasuk di hadapan Galeri Di Raja dan Jalan Istana bermula jam 7 pagi sehingga 9.30 pagi.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-3375 5555 sambungan 1606/1237.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, Klang Hari Tanpa Kenderaan dengan tema Malaysia Tanpa Rasuah oleh MPK merupakan aktiviti harus diberi sokongan kerana ia adalah inisiatif yang menganjurkan keseimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“Dalam suasana pemulihan negara pasca pandemik ini, kelestarian pembangunan ekonomi dan sosial harus dititik beratkan bersama nilai integriti teguh. Ini penting untuk memastikan kita bukan saja pulih tetapi dapat menambah baik dan mengekalkan konsistensi transformasi ke arah yang lebih cemerlang," katanya.
Beliau berkata, pemilihan tema Malaysia Tanpa Rasuah dalam aktiviti sosial melibatkan masyarakat awam adalah langkah membentuk budaya nilai yang harus ditanamkan bermula daripada sistem kekeluargaan yang dibina secara organik ke dalam komuniti hingga ke peringkat negara.
“Klang Hari Tanpa Kenderaan kali ini memberi mesej simbolik yang cukup bermakna, sebagaimana kita bencikan pencemaran alam begitulah kita benci rasuah yang mencemari maruah dan jati diri negara. Ia adalah pendidikan santai yang harus berterusan dan diperkasakan oleh pelbagai sektor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!