Nasihat otai badminton buat Zii Jia

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

MENANG kalah, menang kalah merupakan proses yang akan dilalui seseorang pemain badminton sepanjang perjalanan kariernya.

Namun paling penting menurut legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, kesungguhan seseorang pemain itu bangkit daripada prestasi tidak konsisten adalah ukuran sebenarnya kepada pencapaiannya.

“Ya, memang apabila tewas first round, second round, first round tahap keyakinan seseorang pemain itu akan lebih terkesan.

“Namun itu sebenarnya realiti bergelar pemain dan selagi itu jugalah perlu memikirkan cara tidak hanya untuk memperbaiki kelemahan tetapi juga meningkat kualiti permainan.

“Jika kita perhatikan pemain Indonesia, Jonatan Christie dan Anthony Ginting pun tidak konsisten, namun mereka sentiasa berusaha improve dalam setiap pertandingan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi semasa pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pada ketika ini.

Zii Jia yang merupakan dalam kalangan 15 atlet tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) sebelum ini tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Singapura 2023 dalam masa aksi 74 minit.

Pemain ranking ke-10 dunia itu menyingkap Siri Jelajah Dunia Berstatus Super 750 berkenaan langkah kiri apabila tewas kepada pemain nombor 27 dunia dari China, Weng Hong Yang, 20-22, 21-16, 19-21.

Terdahulu pemain berusia 25 tahun itu ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua Masters Malaysia, apabila tewas kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi 19-21, 21-16, 15-21.

Prestasi naik turun Zii Jia menyaksikan ranking dunia pemain dari Alor Setar itu kini di kedudukan ke-10 selepas gah berstatus nombor dua dunia Oktober tahun lalu.

Zii Jia akan kembali menyingkap Siri Jelajah Dunia Super 1000 Terbuka Indonesia berdepan pemain India, Lakshya Sen di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta pada Selasa.

Pada masa sama Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu menyifatkan Zii Jia masih memerlukan bimbingan untuk kembali ke prestasi puncak sebelum ini.

“Sejujurnya saya melihat Zii Jia masih tercari-cari rentak permainannya dari segi kekuatan dan kelemahan, dua perkara ini menunjukkan sememangnya dia masih memerlukan bimbingan terbaik.

“Biarpun seseorang pemain badminton itu bergelar juara dunia dan dalam kelompok 10 teratas dunia, dia masih perlu melalui banyak proses pembelajaran secara berterusan.

“Malah, proses pembelajaran dalam setiap pertandingan itu yang akan mematangkan permainan seseorang pemain tersebut.

“Seseorang pemain badminton ini anytime boleh menang dan boleh juga kalah, jadi tidak boleh santai dalam zon selesa serba serbi sudah bagus biarpun berada dalam kelompok 10 terbaik dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!