Dua beradik maut dalam nahas kereta dan lori minyak
KUANTAN - Dua beradik maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini pada tengah malam Selasa.
Dalam nahas kira-kira jam 11 malam itu, pemandu kereta, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli,18, dan kakaknya, Siti Mazurah Zulkifli, 30, beralamat dari Felda Lepar Hilir 1 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori tangki, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, beralamat di Perkampungan Sungai Isap 1 di sini tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori tangki membawa muatan bahan api petroleum itu dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menuju ke sebuah stesen minyak di Gambang.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tangki itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Wira dinaiki dua beradik yang bekerja sebagai juru jual dan pramusaji itu.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!