Guru maut, tersepit dalam Viva
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, R Ganasan, 44, yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitenden Roslee Omar memberitahu, kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan lori jenis Mercedes Benz.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Viva itu dari arah Mentakab menghala ke Jerantut.
"Apabila sampai di tempat kejadian, lori yang dipandu lelaki berusia 58 tahun telah keluar dari simpang Taman Sri Semantan dan melanggar kereta tersebut yang sedang bergerak lurus.
"Akibat daripada perlanggaran tersebut, pemandu kereta yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Roslee, pemandu lori itu telah ditahan untuk ujian toksikologi dan akan direman pada Khamis.
Ujar beliau, siasatan masih lagi diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 pagi.
Ujar beliau, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian bersama dua jentera.
"Sampai di lokasi didapati benar berlaku kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan yang melanggar kereta terbabit.
"Terdapat seorang mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dan telah meninggal dunia di tempat kejadian yang disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata beliau.
Tambah Zulfadli lagi, anggota bomba membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!