GTF 2023 sasar 150,000 pengunjung

GTF 2023 menyasarkan pengunjung 150,000 dengan menyediakan lebih 50 program menarik yang mana 70 peratus daripadanya diberikan percuma.
GTF 2023 menyasarkan pengunjung 150,000 dengan menyediakan lebih 50 program menarik yang mana 70 peratus daripadanya diberikan percuma.
A
A
A

GEORGETOWN - Upacara George Town Festival (GTF) 2023 kali ini menyasarkan pertambahan pengunjung sebanyak 50,000 berbanding 100,000 pada penganjuran pada tahun lalu.

Pengurus Komunikasi GTF, Connie Chan berkata, penganjuran kali ke 14 festival berkenaan telah disokong oleh Kerajaan Pulau Pinang melalui pembiayaan geran dan penajaan lokasi.

Menurutnya, GTF 2023 yang akan diadakan bermula 15 hingga 30 Julai ini merupakan sebuah pesta meraikan kemasyhuran seni, budaya dan warisan untuk dirayakan oleh semua lapisan masyarakat.

"Tahun lalu, kita berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung dan tahun ini, kita menyasarkan 150,000 pengunjung yang akan mengunjungi GTF 2023. Lebih 50 program akan diadakan yang mana, 70 peratus daripadanya adalah percuma.

"GTF merupakan sebuah pesta meraikan kemasyhuran seni, budaya dan warisan untuk dirayakan oleh semua lapisan masyarakat.

Festival yang bakal berlangsung sepanjang 16 hari ini akan mempersembahkan pelbagai karya seni luar biasa oleh seniman tempatan.

"Selain itu, ia juga melibatkan seniman antarabangsa serta produksi-produksi yang mewakili pelbagai cabang seni daripada seni tradisional, kontemporari, eksperimental dan kepelbagaian latar belakang disiplin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, ia sekali gus bakal menjulang GTF 2023 sebagai acara seni paling gah setakat ini kerana kemampuannya untuk menghubungkan warisan ketara dengan tidak ketara melalui perkongsian serta pertukaran idea kreatif dan artistik di peringkat global secara berterusan.

"Antara program yang disediakan adalah tayangan perdana, penampilan sulung produksi, persembahan kebudayaan daripada suku asal etnik, pengaturcaraan digital, pelancaran buku dan permainan, program komuniti, siri-siri kelas induk seni, bengkel dan juga forum.

"Semua program ini akan diadakan di lebih 20 lokasi merentasi bandar ini dan sekitar Pulau Pinang. Program GTF 2023 disusun secara teliti bertujuan untuk menyatukan komuniti tempatan dan pengunjung festival tanpa mengira peringkat umur, latar belakang, lokaliti dan kewarganegaraan, yang mana ia hanya bersandarkan kecintaan kepada seni," katanya.

Connie berkata, GTF 2023 juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 George Town dan Adelaide Sebagai Bandar Bersaudara.

"Acara yang menjadi sorotan untuk ini ialah 'The Senses' yang merupakan sebuah halwa telinga persembahan kebudayaan suku asal dengan muzik alam semulajadi.

"Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan dalam cabang seni tradisional, GTF 2023 turut membawakan beberapa persembahan kebudayaan tradisi etnik untuk menyokong warisan tidak ketara antaranya Panggung Semar, bhumiMATA dan The Monkey King Adventures - Love of Onibaba," katanya.

GTF julung kalinya diadakan pada tahun 2010 bertujuan untuk menghargai dan meraikan Pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008.

Sepanjang penganjuran selama 14 tahun ini, GTF telah berjaya menonjolkan tarikan dan warisan Bandar George Town serta menyediakan ruang dan platform bagi acara seni kebudayaan yang kian bertambah.

Selain itu, GTF muncul sebagai sebuah acara seni terpenting di Malaysia dan kekal sebagai saluran utama kreatif bagi pengunjung festival, peminat dan pihak berkepentingan untuk terlibat antara satu sama lain, merangsang perbincangan, hubungan dua hala, dan peningkatan kerjasama atas nama seni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!