Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran
KUALA PILAH - Seorang tukang urut tradisional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis tanpa kebenaran, bulan lalu.
Tertuduh, Nor Muhamad Ahmad, 57, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan perhubungan seks dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan seorang gadis berusia 21 tahun tanpa kebenaran.
Perbuatan itu dilakukan pada 30 Mei lalu lebih kurang jam 10.30 malam bertempat di ruang tamu dalam rumah di Kuala Klawang, Jelebu.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!