[VIDEO] 'Bukan panglima perang tapi pendekar mustar sertai PN' - Puad
BATU PAHAT - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan 10 pemimpin 'panglima perang' (warlord) daripada parti itu yang bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai 'pendekar mustar'.
Menurut beliau, gelaran pendekar mustar lebih sesuai berbanding panglima perang kerana kesemua pemimpin dari UMNO termasuk tiga daripada Johor itu hanya lantang bersuara di belakang.
"Saya tidak mahu pertikai kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung 10 panglima perang daripada UMNO itu akan sertai mereka.
"Hamzah memang ada kepakaran untuk bawa orang 'melompat'. Sebelum ini pun dia sudah bawa banyak pemimpin UMNO masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan berjaya pujuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.
"Bila Hamzah sebut 10 pemimpin dari UMNO itu, saya rasa memang betul, termasuk tiga daripada Johor. Cuma mereka bukan panglima perang tetapi pendekar mustar termasuk seorang pemimpin daripada Johor itu cuma berani cakap belakang, sesuai dipanggil pendekar mustar selatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Bazar Rakyat Agro Johor di Pusat Memproses Makanan Fama, Rengit di sini pada Rabu.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, UMNO tidak akan rugi kehilangan 10 pemimpin tersebut kerana berpandangan mereka tidak berdisiplin.
"PN boleh ambil mereka ini, sebab mereka tidak berdisplin. UMNO hanya mahu orang yang berdisiplin. Saya tidak heran, kutiplah kesemua mereka ini, termasuk pendekar mustar selatan itu.
"UMNO tidak akan rugi, dahulu pun masa Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohd Hamzah hampir keseluruhan anggota kabinet ikut Ku Li sertai Semangat 46. Tetapi akhirnya beliau masuk semula UMNO," katanya.
Sebelum ini, PN mengumumkan 10 ‘panglima perang’ atau 'warlord' UMNO yang bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, di mana tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.
Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!