[VIDEO] 'Saya ceraikan awak, Puteri Sarah talak satu' - Syamsul Yusof
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] "Saya ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu," kata Pengarah filem 'Mat Kilau', Syamsul Yusof ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.
Ini bermakna, kemelut rumah tangga mereka, akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan itu sah bercerai buat kali kedua ketika prosiding status pengesahan cerai, di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas.
Sebelum mahkamah merekodkan lafaz talak, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili pengarah filem berusia 39 tahun itu mencadangkan, pasangan berkenaan bersalaman bagi memohon kemaafan.
Puteri Sarah yang memakai baju kurung moden kemudiannya mencium tangan suaminya ini buat kali terakhir, dengan disaksikan Akmalluddin dan rakan-rakan artis itu.
Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof mengucapkan istighfar dalam keadaan tenang lalu menjatuhi talak satu terhadap Puteri Sarah.
Mendengar ucapan tersebut, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi yang ketara.
Susulan itu, mahkamah merekodkan permohonan cerai secara baik, difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pada jam 12.23 tengah hari.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan Syamsul selaku defendan, membayar nafkah bulanan dua anak mereka sebanyak RM6,000; insurans (RM3,500 seorang) dan percutian (RM5,000 seorang).
Bayaran lain juga perlu dilunaskan, merangkumi perbelanjaan makan minum, pendidikan dan perubatan.
Mahkamah juga merekodkan defendan perlu membayar nafkah RM15,000 dalam tempoh edah kepada Puteri Sarah selaku plaintif.
Puteri Sarah perlu menjalani tempoh edah selama tiga kali suci dan mendaftarkan perceraian mereka di sini.
Semasa prosiding, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, dalam prosiding terdahulu, mahkamah telah mengarahkan kedua-dua pihak supaya menyelesaikan isu lafaz talak yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, pihak plaintif telah memasukkan permohonan pengesahan cerai itu maka kami memohon mahkamah supaya merekodkan bahawa perceraian ini merupakan talak kali kedua.
Akberdin: Lafaz talak kali pertama berlaku pada 9 Mei 2015 namun mereka rujuk semula pada 15 Mei tahun sama.
Azmi: Saya sahkan, kami akan cuba selesaikan lafaz cerai kerana shiqaq termasuk pengesahan lafaz cerai yang berlaku sebelum ini.
Akberdin: Atas persetujuan pihak plaintif dan defendan, saya mohon prosiding ini dibuat secara tertutup.
Hakim Syarie: Permohonan itu berdasarkan alasan apa?
Akberdin: Berdasarkan persetujuan semua pihak kerana menerusi terma yang dipersetujui, kami nyatakan semua syarat yang telah dipersetujui dicapai akan kekal sebagai rahsia.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan semua yang berada di galeri awam beredar dari mahkamah tersebut.
Semasa prosiding, mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu, terhadap suaminya yang berusia 39 tahun, pada 16 Januari lalu.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!