Tiga beranak melecur: Polis tunggu laporan forensik bomba

Polis telah mengambil keterangan awal daripada pemilik premis termasuk beberapa saksi di tempat kejadian.
Polis telah mengambil keterangan awal daripada pemilik premis termasuk beberapa saksi di tempat kejadian.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis masih menunggu laporan penuh daripada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum membuka kertas siasatan membabitkan tiga beranak terbakar dan melecur akibat tong gas oksigen meletup di Taman Industri Ringan Sri Mergong pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kertas siasatan akan dibuka sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

"Polis masih lagi menunggu hasil siasatan pihak bomba sama ada terdapat unsur khianat atau pun apa sahaja.

"Kalau disahkan nanti laporan daripada pihak bomba mengatakan ada unsur khianat, polis akan mulakan siasatan," katanya semasa ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.

Menurutnya, polis akan melakukan siasatan menyeluruh dari segala sudut termasuk aspek kecuaian.

"Polis juga telah mengambil keterangan awal daripada pemilik premis termasuk beberapa saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan," ujar beliau lagi.

Pada Selasa media melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, jam 12.30 tengah hari.

Ketiga-tiga mangsa beralamat dari Kampung Pinang Pedu, dikatakan pergi ke lokasi kejadian untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.

Mangsa, Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, berada dalam keadaan kritikal akibat melecur 80 peratus sementara anaknya melecur 95 peratus kini masih dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Seorang lagi mangsa yang merupakan isteri dan ibu kepada kanak-kanak terbabit, Noor Azlina Abu Bakar, 34, melecur 30 peratus dan dirawat di hospital sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!