Pengusaha durian Raub perlu bersatu tembusi pasaran China
RAUB - Pengusaha kebun durian di Raub perlu bersatu untuk menembusi pasaran luar negara khususnya China, dalam memangkin pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan bagi industri durian daerah itu.
Timbalan Pengerusi Royal Pahang Durian Group (RPDG), Datuk Albert Chang Si Fock berkata, ia sekali gus dapat menaik taraf status mereka sebagai pengeksport durian bereputasi tinggi.
Menurutnya, pertumbuhan pasaran durian di China memerlukan bekalan berkualiti yang konsisten, justeru prestasi kos rantaian bekalan yang optimum dan spesifikasi penarafan yang tetap amat diperlukan.
“Berdasarkan Laporan Industri Pasaran Buah Segar China oleh China Insights Consultancy pada Julai 2022, pasaran durian negara itu dianggarkan akan berkembang sehingga RM 83.14 bilion menjelang tahun 2026.
“Disebabkan itu, RPDG melalui Royal Pahang Durian Resources - Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (RPDR-PKPP) berharap kita dapat memangkin pertumbuhan jangka masa panjang yang mapan bagi industri durian Raub, sekali gus menaik taraf status Malaysia sebagai pengeksport durian bereputasi tinggi.
“Sejak tahun 2019, RPDR-PKPP telah berusaha untuk menggerakkan dan menstrukturkan industri pertanian durian yang berbelah di daerah Raub agar menjadi perniagaan yang holistik dan teratur,” katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Media ke Ladang Moden RPDG Tras, di sini pada Selasa.
Sesi lawatan tersebut bertujuan untuk menerangkan tentang struktur perniagaan holistik yang dirancang oleh syarikat serta isu-isu semasa yang kritikal dalam industri durian di Raub yang berkaitan dengan ladang-ladang durian tidak berdaftar yang wujud di daerah tersebut.
Ladang berkeluasan 405 hektar itu mengaplikasikan teknologi perladangan pintar proprietari dan dilengkapi dengan penggunaan aplikasi dengan fungsi pemantauan kesihatan pokok, kadar pertumbuhan, penyakit pokok, racun serangga, pengairan dan penuaian.
Berdasarkan statistik penanaman durian daripada Jabatan Pertanian Malaysia pada tahun 2020, terdapat 9,755 hektar penanaman durian yang direkodkan di Raub, yang mewakili 13 peratus daripada jumlah keseluruhan hektar penanaman Malaysia iaitu 76,895 hektar.
“Buat masa ini, ladang-ladang tanpa dokumen semasa di Raub dianggarkan kira-kira 4,452 hektar, bersamaan sekitar 5.7 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan penanaman durian di Malaysia.
“Oleh itu, Inisiatif Penyelarasan oleh RPDR-PKPP tidak sepatutnya dianggap sebagai monopoli dalam industri durian,” jelasnya.
Jenamakan Musang King Raub sebagai durian premium
Jelas Albert, menerusi inisiatif pemutihan ladang-ladang durian tanpa dokumen RPDR-PKPP, mereka menggalakkan pekebun yang belum mendaftar untuk tampil dan memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan industri durian Raub agar mencapai potensi sepenuhnya.
Buat masa ini, kira-kira 200 pekebun Raub telah menyatakan hasrat untuk menyertai mereka bagi membolehkan durian itu dieksport di bawah satu label, dengan memasarkan Musang King Raub sebagai durian premium.
“Pendekatan inklusif ini dapat memanfaatkan pelbagai perspektif, pengalaman dan idea semua peserta dalam rantaian bekalan.
“Selain itu, diharapkan bahawa rantaian bekalan yang inklusif akan lebih berdaya tindak dalam menghadapi sebarang gangguan dalam industri dan lebih berdaya saing, memperluas jangkauan pasaran, dan mencapai pertumbuhan pendapatan yang mapan.
“Ini selaras dengan kerangka dasar Madani kerajaan mengenai tadbir urus yang baik dan prinsip kelestarian,” ujar beliau.
Pada masa ini katanya, terdapat permintaan yang mencukupi di China untuk durian Musang King Malaysia dalam bentuk sejuk beku dan telah diterima sebagai variasi durian premium dan unggul.
Data menunjukkan pertumbuhan eksport yang baik bagi durian Malaysia dalam bentuk sejuk beku ke China dari 2019 hingga 2021.
Bagaimanapun, produksi durian Indonesia pada tahun 2021 mencapai 1,520,000 tan, menjadikan mereka sebagai pengeluar durian terbesar ketika ini tanpa protokol eksport dan capaian pasaran ke China.
“Seandainya Indonesia memperoleh akses pasaran eksport dalam bentuk buah segar berserta versi Musang King mereka sendiri, persaingan pasaran akan menjadi lebih sengit dan membimbangkan.
“Mengambil kira pertumbuhan pasaran yang pesat dengan kemasukan akses pasaran dari Vietnam dan Filipina, RPDG berpendapat bahawa perlunya diwujudkan sebuah Lembaga Perindustrian Durian Malaysia,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!