PRN: Polis Kedah ingatkan ahli politik tidak sentuh aspek 3R

Fisol (kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar pada Rabu.
Fisol (kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengingatkan semua pihak berhati-hati dalam percakapan mahupun perbuatan bagi memenangi hati rakyat tanpa menyentuh aspek 3R iaitu agama (Religion), raja (Royalty) dan kaum (Race) menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, semua rakyat memiliki tanggungjawab untuk memelihara keamanan bersama dan mana-mana pihak tidak seharusnya mengambil langkah yang boleh menimbulkan kegusaran di antara satu sama lain.

"Saya ingin mengingatkan bahawa pihak polis kini telah menubuhkan pasukan siasatan khas dikenali sebagai Pasukan Siasatan Khas 3R sejak Mac lalu bagi menangani isu berkaitan agama, raja dan kaum.

"Jadi kalau ada pihak yang menyentuh perkara ini dan didokumenkan termasuk dalam bentuk video, jangan dipolemikkan perkara itu apabila polis buka kertas siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.

Terdahulu, Fisol menyertai Perhimpunan Bulanan IPK Kedah buat kali pertama selepas melapor diri sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu pada 6 Jun lalu bagi menggantikan Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang berpindah ke Bukit Aman.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perhimpunan yang diadakan perlu dimaklumkan kepada pihak polis kerana ia tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurutnya, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh penganjur bagi memastikan sebarang aktiviti dijalankan tidak menyalahi undang-undang.

"Perhimpunan kian rancak diadakan kebelakangan ini. Penganjur perlu pastikan ada permohonan dibuat kepada pihak polis agar kami dapat sama-sama membantu mengawal keadaan di lokasi tersebut," ujar beliau.

Tambahnya lagi, penganjuran trend konvoi besar-besaran dalam kalangan parti-parti politik bagi menarik penyertaan anak muda sejak kebelakangan ini juga dilihat semakin popular, namun berharap pihak penganjur turut prihatin terhadap pengguna jalan raya lain.

"Jangan semata-mata kerana mahu menunjukkan ramai orang bersama, maka disertakan sekali mereka yang tidak ada lesen serta cukai jalan.

"Perlu pastikan pergerakan kumpulan itu dikawal dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini akibat kecuaian penganjur, maka pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka," ujar Fisol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!