Warga emas OKU rentung rumah terbakar
KUALA NERUS - Seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) mental ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Gong Datuk di sini tengah hari ini.
Senik Abdullah, 60, yang tinggal bersama keluarga adiknya, dipercayai bersendirian di rumah dan berada di dalam biliknya dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.50 pagi itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah hari.
"Tiga jentera dan sebuah lori tangki dengan kekuatan 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota digerakkan ke lokasi untuk kerja penyelamatan dan memadam kebakaran.
"Bomba cuba untuk masuk menyelamatkan mangsa namun sebahagian struktur rumah jenis separuh kekal dengan sebahagian besar binaan kayu itu telah runtuh menyukarkan kerja penyelamatan dibuat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran tersebut dan kerja penyiasatan sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Premis dianggarkan musnah 90 peratus dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan untuk memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya.
Adik mangsa, Dol @ Zulkifli Abdullah, 52, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum mendapat panggilan daripada anaknya memaklumkan tentang insiden itu.
Menurutnya, atas faktor kesihatan, mangsa sebelum ini memang sudah biasa ditinggalkan bersendirian sekiranya ahli keluarga yang lain mempunyai urusan di luar, namun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, menurut saksi kejadian, Zakaria Mad, 66, yang juga jiran mangsa berkata, dia mendengar dua letupan sebelum menyedari berlakunya kebakaran tersebut.
"Saya dan jiran-jiran terdekat terus ke lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak bomba. Tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan mangsa meminta tolong dan ada daripada kami cuba masuk untuk selamatkannya, namun gagal kerana api terlalu marak," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!