Kerajaan Negeri Sembilan usaha atasi masalah anjing liar
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan, Teo Kok Seong berkata, langkah itu diambil bagi mengatasi masalah anjing liar yang kini mula mengancam keselamatan orang awam.
Menurutnya, sebelum ini sebidang tanah milik kerajaan negeri di Kuala Sawah telah dipilih tetapi ia didapati tidak bersesuaian selepas kajian dibuat.
“Kita perlu mengambil kira pelbagai aspek supaya ia tidak mengganggu keselesaan dan kesejahteraan penduduk sekitar untuk jangka masa panjang.
“Lokasi di Kuala Sawah itu selepas kita buat kajian semula geografinya tidak sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai masih boleh membuat aduan seperti biasa jika terdapat masalah anjing liar di tempat mereka.
Beliau berkata, kontraktor telah dilantik bagi menguruskan masalah itu khususnya di kawasan bawah seliaan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
“Kita juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan Jabatan Veterinar untuk atasi masalah anjing liar dengan cara lebih berperikemanusiaan.
“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Negeri Sembilan malah seluruh negeri yang mempunyai inisiatif masing-masing untuk mengatasinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak awal tahun ini sebanyak 44 ekor anjing liar telah ditangkap di beberapa lokasi khususnya di kawasan perumahan hasil aduan orang ramai.
Katanya, setiap aduan akan diambil tindakan segera demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!