10 'warlord' sertai PN hanya khabar angin - Wan Rosdy
KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan dakwaan 10 'warlord' akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya sekadar khabar angin.
Beliau berkata, itu antara taktik digunakan pihak lawan susulan PRN di enam negeri dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Justeru, menurutnya, semua pihak tidak seharusnya percaya dengan laporan tidak sahih.
"Itu hanya khabar-khabar angin, jangan percaya. Semua orang boleh cakap 10, lima atau tiga 'warlord' jangka sertai PN.
"Jadi, kita kena faham ini politik, ada PRN ni macam-macam cerita yang entah betul entah tidak. Kita pula menguar-uarkan cerita yang belum sahih dan jangan percaya, sampai masa kita hadapi lah (PRN), jadi jangan percayalah, kita 'move forward'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 10 'warlord' daripada UMNO akan sertai PN.
Wan Rosdy sebelum itu melawat Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia 16 bulan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Jenis 1 di Permatang Badak Maju, di sini pada Rabu.
Pada Selasa, PN dikatakan akan mengumumkan senarai 10 Warlord merangkumi individu yang disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.
Laporan sebelum ini, menyebut selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara bakal menyertai PN.
Ditanya mengenai kemungkinan terdapat 'warlord' UMNO dari Pahang turut terbabit dalam khabar angin berkenaan, Wan Rosdy memberitahu setakat ini ia di luar pengetahuannya.
"Saya tak ada dengar pun, tak ada dengar cerita apa-apa," ujarnya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!