Maulizan masih berteka-teki

Maulizan
Maulizan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang tidak menafi atau mengiyakan beliau antara tiga 'warlord' atau panglima perang UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram ketika ini tidak mahu memberi sebarang jawapan terhadap persoalan itu.

"Saya tak nak komen apa-apa dulu dan biarlah masa yang menentukan," katanya ketika dihubungi mengulas khabar angin beliau antara beberapa bekas pemimpin UMNO di Johor yang akan menyertai PN.

Maulizan yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, pada masa ini beliau ingin berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.

Ditanya sama ada pernah dihubungi atau didekati pemimpin PN, beliau mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin PN.

"Saya memang mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan pemimpin. Saya berkawan sampai sekarang," ujar beliau.

Beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO berkata, pemimpin parti itu kini sudah 'tersasar' daripada perjuangan asal.

Maulizan bagaimanapun mengakui tidak pernah menyalahkan parti atas penggantungan keahliannya.

"Parti tak salah, cuma pemimpin-pemimpin yang mengemudi parti sudah lari jauh daripada matlamat perjuangan asal," katanya yang sebelum ini memberitahu, tidak pernah dipanggil lembaga displin parti atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan itu.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, ketiga-tiga panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini.

Pada Isnin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 'warlord' sertai PN hanya khabar angin - Wan Rosdy

[VIDEO] 'Bukan panglima perang tapi pendekar mustar sertai PN' - Puad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!