Durian Pak Yas 'lubuk' peminat raja buah

Pak Yas menunjukkan durian kampung di premis miliknya ketika ditemui Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama
Pak Yas menunjukkan durian kampung di premis miliknya ketika ditemui Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama
A
A
A

LARUT - Durian Batu Kurau yang dijual oleh Pak Yas, menjadi tumpuan peminat raja buah itu kerana dijual mengikut kuantiti buah dan bukannya berdasarkan berat.

Ilyas Nasib, 55, peraih buah-buahan utama di Kampung Bawah Gunung, sering tidak menang tangan apabila tiba musim durian kerana pengunjung dari dalam dan luar negara akan tertumpu ke kedainya.

"Durian Batu Kurau ini paling nikmat adalah pada rasanya yang berlemak dan isi tebal. Jangan tengok kepada warna isi durian kerana rasanya tidak dapat ditandingi,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di sini.

Pak Yas bergambar di premis miliknya ketika ditemui Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama
Pak Yas bergambar di premis miliknya ketika ditemui Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama

Pak Yas mengetengahkan konsep kiraan melalui saiz buah kerana ingin pelanggannya mendapat kepuasan ketika menikmati durian itu.

"Saya tidak pakai timbang. Saya kira satu buah yang besar, dan tiga hingga empat buah kecil dikira sebagai satu biji durian iaitu kira-kira RM10. Jika saya kira melalui timbangan, dengan kulit-kulit durianlah perlu makan sekali.

"Alhamdulillah pelanggan yang datang berpuas hati dengan kaedah ini. Ramai yang beritahu jika mereka beli guna timbang, lima biji sudah cecah RM100. Makan pun tidak puas, saya tidak mahu begitu,” katanya.

Pelanggan memilih durian kampung yang dijual di kedai durian Pak Yas ketika tinjauan Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama
Pelanggan memilih durian kampung yang dijual di kedai durian Pak Yas ketika tinjauan Bernama di Kampung Bawah Gunung semalam. - Foto Bernama

Pak Yas berkata, sehingga kini, antara pelanggan paling jauh pernah datang ke kedainya adalah dari Jepun yang video di aplikasi TikTok berkaitan durian Pak Yas, tular di negara matahari terbit itu.

"Saya tanya kepada dia mana dia tahu pasal durian Pak Yas di Batu Kurau, dia menjawab bahawa dia sangat terliur melihat video tular di TikTok dan Facebook,” katanya yang telah menjual buah-buahan lebih 30 tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!