Tuak kurma beri rezeki berganda

Mohd Zin Mohamed, 59, (dua dari kiri) melayan pelanggan yang tidak putus berkunjung ke kebunnya bagi mendapatkan air tuak kurma berkenaan.
Mohd Zin Mohamed, 59, (dua dari kiri) melayan pelanggan yang tidak putus berkunjung ke kebunnya bagi mendapatkan air tuak kurma berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Menjelang Ramadan Isnin ini memberi rezeki berganda kepada seorang pengusaha kebun kurma di Kampung Teras, Binjai di sini apabila tuak yang dihasilkan dari pohon itu mendapat tempat di hati pelanggan.

Mohd Zin Mohamed, 59, berkata, usahanya yang dimulakan hanya sekadar hobi itu kini membuahkan hasil berupa tuak atau nira yang mempunyai rasa lazat lebih lemak dan manis.

Katanya, usaha menanam pohon kurma itu hanya dilakukan dengan tujuan suka-suka sahaja dan cubaanya untuk mengeluarkan air dari batang pohon itu juga tidak sangka-sangka ‘menjadi’ serta mendapat sambutan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, air tuak dari pohon kurma ini mula mendapat permintaan yang sangat menggalakkan hingga tidak menang tangan daripada pelanggan yang mahukan air tuak.

“Saya bersyukur dan gembira dengan penerimaan pelanggan dan saya juga memperbaiki kaedah untuk mendapatkan air nira ini dari batang pokok palma tersebut supaya lebih ramai yang dapat menikmati kelazatannya,” katanya.

Tahun lalu, Sinar Harian pernah menyiarkan percubaan Mohd Zin menanam pohon kurma yang pada mulanya menerima kecaman hingga ada yang mengatakan dia tidak waras.

Kini, usaha Mohd Zin itu boleh dibanggakan apabila pohon yang ditanam bukan sahaja tumbuh subur, malah mengeluarkan buah kurma serta menghasilkan tuak yang sangat lazat.

Menurutnya, berbeza dari nira kelapa yang diperolehi dari mayang kelapa atau mayang enau yang disadap, tuak kurma pula dikeluarkan dari batang pohon kurma dan memerlukan kira-kira 24 jam bagi mendapatkan 1.5 liter air tuak kurma.

Artikel Berkaitan:

“Saya bermula dengan menaman hanya 50 pokok dan kini sudah memiliki kebun kurma di tanah seluas 0.2 hektar dengan 200 batang pokok. Sebotol tuak kurma sebanyak 250 mililiter(ml) dijual dengan harga antara RM15 hingga RM20,” katanya.

“Saya juga menghasilkan cuka kurma daripada nira tersebut yang berbeza dengan cuka buah kurma biasa yang menggunakan buahnya untuk mendapatkan cuka. Cuka nira kurma ini mempunyai rasa yang sedikit berbeza,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!