Bersekongkol dengan kumpulan Sulu jenayah berat - Peguam
KUALA LUMPUR - Perbuatan mengganggu-gugat kedaulatan dan keselamatan negara dengan bersekongkol dengan penuntut kumpulan Sulu merupakan jenayah berat, kata pengamal undang-undang.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan ke atas individu yang melakukan jenayah ini.
"Mana-mana pihak yang membantu penuntut kumpulan Sulu adalah sabotaj kepada keselamatan negara. Tindakan yang dilakukan adalah bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menurut undang-undang jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberikan sebarang sokongan, bantuan atau bersekongkol dengan penuntut kumpulan Sulu.
Anwar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap penuntut Sulu, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.
Menurut Mohamed Haniff Khatri, Seksyen 124K memperuntukkan antara lain bahawa sesiapa yang melakukan sabotaj secara langsung atau tidak langsung dengan apa cara sekalipun akan dihukum dengan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.Berkongsi pendapat sama, peguam Datuk M Reza Hassan berkata, hukuman penjara seumur hidup adalah setimpal dengan tindakan individu yang sewenang-wenangnya mencabar kedaulatan dan keamanan negara.
Peguam itu berkata, tindakan kerajaan untuk mengambil tindakan menurut undang-undang jenayah yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang memberi sebarang sokongan terhadap penuntut kumpulan Sulu adalah sangat tepat.
"Kerajaan perlu mengambil tindakan keras terhadap sebarang percubaan yang mencabar kedaulatan dan keamanan negara dan ia perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh menyifatkan tuntutan kumpulan Sulu adalah tidak bertanggung jawab kerana ia mengganggu ketenteraman, kestabilan dan kedaulatan negara.
"Tindakan kerajaan memang tepat orang nak sabotaj negara, tak kan kita nak duduk diam, memang sesuai kerajaan kenakan Seksyen 124K Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Heret dalang di sebalik tuntutan waris Sulu ke muka pengadilan
Tuntutan Sulu: Rakyat sokong usaha kerajaan pertahan kedaulatan
Tuntutan Sulu: Kerajaan ambil segala tindakan pertahan kedaulatan negara
Tuntutan waris Sulu: 'Biar orang lain jawab' - Anwar
Tuntutan sulu: Tindakan undang-undang terhadap pihak bersekongkol
Tuntutan Sulu: Tiada bukti kerajaan Filipina terlibat - PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!