Kerajaan laksana beberapa kaedah tingkat bekalan air bersih

Nik Nazmi melihat pameran Indah Water Konsortium di Persidangan dan Pameran Water Malaysia 2023.
Nik Nazmi melihat pameran Indah Water Konsortium di Persidangan dan Pameran Water Malaysia 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang meningkatkan beberapa kaedah menyediakan sokongan kepada beberapa negeri untuk menikmati bekalan air bersih.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan serampang dua mata perlu dilaksanakan bagi menghadapi cabaran menguruskan air di negara ini.

“Pengurusan aset air yang baik adalah bergantung kepada penghantaran selamat air minuman ke rumah dan perniagaan melalui pengangkutan saluran paip, stesen pam, loji rawatan serta infrastruktur.

“Pengendalian dasar, rancangan, amalan dan sistem praktikal perlu disediakan serta disokong oleh kakitangan mahir bagi menambah baik perkhidmatan air negara,” katanya di Persidangan dan Pameran Khas Water Malaysia 2023 anjuran Malaysian Water Association bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain memastikan bekalan air bersih kerajaan turut mengekalkan penyelenggaraan empangan bekalan air pada paras yang tinggi.

Menurutnya, daripada 104 empangan, terdapat 41 diklasifikasikan sebagai empangan berisiko tinggi, sembilan untuk pengairan, 18 bekalan air, 11 hidroelektrik dan tiga untuk tujuan pertanian.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDams) untuk menyediakan panduan teknikal bagi pemeriksaan empangan.

“Saya akan memastikan kejayaan pengurusan air di Malaysia mencapai keseimbangan antara akses kepada air sebagai satu keperluan dan memastikan kewangan serta kemampanan operasi berada dalam keadaan baik.

“Kita mesti memenuhi cabaran pengurusan air bagi penduduk di bandar, luar bandar dan kawasan terpencil bukan sahaja untuk masa kini, tetapi untuk masa hadapan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!