Warga asing paksa beli bunga, sedekah duit!
KEHADIRAN warga asing yang berjalan kaki menjual pelbagai barangan dan minta sedekah di lokasi tumpuan ramai, bukan isu baharu di negara ini.
Ramai di antara mereka adalah pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) kerana kerajaan memberi kelonggaran kepada mereka untuk bekerja dalam sektor tidak formal bagi tujuan sara hidup.
Sehingga November 2022 dianggarkan seramai 182,990 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan majoriti berasal dari Myanmar.
Kebanyakan mereka ini dilihat lebih suka meminta sedekah termasuk kawasan lampu isyarat dan restoran untuk menjual keropok serta tisu sehingga lewat malam.
Tidak kurang juga ada warga asing dari negara lain yang mencari pendapatan sampingan dengan menjual bunga seperti di sekitar tasik Putrajaya, kononnya mahu mencari duit belanja sambung belajar di sini.
Orang Malaysia masih ada empati dan memahami desakan hidup golongan ini yang memerlukan duit untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Namun apa yang Merak Jalanan nampak dengan mata sendiri, sebilangan daripada mereka itu bersikap kurang ajar sekiranya kita tidak mahu membeli barang dijual atau beri duit sedekah.
Walaupun kita menolak dengan cara baik, mereka tetap enggan beredar. Lebih sakit hati apabila mereka ‘buat muka’ sambil mengeluarkan kata-kata menyindir.
Sebelum ini pernah berlaku kes kekasaran melibatkan peminta sedekah warga asing terhadap orang tempatan.
Perkara sebegini menyebabkan orang tempatan mudah menyampah dan rimas dengan kehadiran warga asing serta menganggap mereka ini tidak beradab dan bersikap kurang ajar.
Keseronokan bersama keluarga pun boleh bertukar rasa marah kerana sikap penjual dan peminta sedekah warga asing yang suka memaksa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!