SK Guar Lobak sedia beri saingan Bicara Cilik Rasuah Busters

Muhammad Iman Fariz Nor Azman (kiri) dan Ummu Khairiyah Kamaruzamani akan sertai program Bicara Cilik Rasuah Busters.
Muhammad Iman Fariz Nor Azman (kiri) dan Ummu Khairiyah Kamaruzamani akan sertai program Bicara Cilik Rasuah Busters.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan Guar Lobak (SKGL), Padang Serai, Kedah, giat membuat persiapan untuk program Bicara Cilik Rasuah Busters yang akan berlangsung pada 24 Jun ini.

Guru Besarnya, Jaafar Ahmad berkata, pelbagai persiapan dilakukan dan akan dilipat ganda menjelang minggu akhir sebelum menyertai program berkenaan.

“Sekolah kami menghantar penyertaan dengan penglibatan dua orang murid yang dibimbing oleh empat guru. Kedua-dua peserta amat bersemangat untuk memberikan saingan kepada semua peserta lain.

“Sebelum program bermula, kita membuat persediaan dengan membantu menyediakan bahan kepada murid-murid terlibat menerusi carian maklumat di perpustakaan dan internet.

"Kita juga melatih mereka dengan jadual yang disusun,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan disertai oleh 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dengan penglibatan seramai 29 murid lelaki, 29 murid perempuan serta 92 guru pembimbing seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 10 tajuk bakal dikupas oleh pembentang cilik antaranya, Kenali Rasuah dan Punca Rasuah, Kesan Rasuah Kepada Ekonomi, Kesan Rasuah Kepada Institusi Sosial, Kesan Rasuah kepada Politik, Cara-cara menangani rasuah, Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah, Kajian terhadap kes rasuah di Malaysia, Huraian terhadap kesalahan rasuah di Malaysia dan Apakah Rasuah Busters?

Peserta program Bicara Cilik Rasuah Busters SKGL beri penerangan tentang rasuah kepada murid dari SK Merbau Pulas semasa program jaringan dan jalinan bersama sekolah berkenaan baru-baru ini.
Peserta program Bicara Cilik Rasuah Busters SKGL beri penerangan tentang rasuah kepada murid dari SK Merbau Pulas semasa program jaringan dan jalinan bersama sekolah berkenaan baru-baru ini.

Program yang dijalankan secara atas talian itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan di saluran Facebook Sinar Harian, Rasuah Busters serta Sinar Bestari.

Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ia dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu, Jerantut, Pahang dengan kerjasama Rasuah Busters.

Sementara itu, Jaafar memberitahu, sekolahnya mengambil beberapa insiatif untuk menyemarakkan lagi Bicara Cilik Rasuah Busters di samping menyebarluaskan lagi kempen antirasuah.

“Kita juga menjalankan kempen antirasuah di peringkat sekolah, dengan memberi ceramah terhadap bahaya rasuah kepada murid-murid dan pameran serta pembentangan murid SKGL tentang rasuah kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.

Menurut Jaafar, pihak sekolah menyokong langkah penganjuran Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang beliau yakin mampu melahirkan anak Malaysia yang bencikan rasuah.

“Semoga program seperti ini boleh diperbanyakkan lagi di semua peringkat dan diteruskan pada setiap tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!