UMNOSiswa dakwa rakaman video konsert disunting separuh
KUALA TERENGGANU - Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa) mendakwa rakaman tular konsert di dewan sebuah universiti yang berlangsung pada 10 Jun lalu diambil sebahagian daripada keseluruhan program.
UMNOSiswa dalam kenyataan pada Rabu berkata, video yang ditularkan di media sosial itu tidak sama dengan situasi sebenar ketika program itu diadakan.
"Selepas melihat siaran langsung video melalui pautan YouTube kita dapati ia tidak sama seperti yang digambarkan netizen.
"Semuanya berjalan lancar, teratur dan sopan serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak universiti," jelas kenyataan tersebut.
Menurut UMNOSiswa, video yang ditularkan itu diambil ketika penutup program berkenaan.
"Waktu itu hanya segelintir pelajar yang merancakkan suasana, namun apa yang disasarkan ialah pada minit akhir video tersebut sehingga memburukkan nama universiti terutama di media sosial.
"Justeru, kami mahu pihak yang bertindak menularkan video (SiswaPas) sehingga menimbulkan tanggapan buruk dapat tampil membuat permohonan kepada pihak universiti," ujarnya.
Tambahnya, UMNOSiswa juga meminta agar isu itu tidak dipolitikkan oleh sesetengah pihak menyebabkan ramai membuat telahan tanpa usul periksa.
"Medium laporan ada dalam pelbagai bentuk sama ada secara terbuka, rasmi atau secara dalaman.
"Jika hanya politik semata-mata tetapi merosakkan imej pihak lain juga akan memberi impak kepada keharmonian sejagat," ujarnya.
Pada Rabu tular video berdurasi 37 saat di laman sosial Facebook memaparkan sebuah konsert dikatakan berlangsung dalam dewan sebuah universiti di Terengganu.
Berdasarkan video tular itu, konsert yang dipercayai dihadiri oleh pelajar lelaki dan perempuan universiti berkenaan menunjukkan setiap peserta turut menari ketika menyaksikan persembahan nyanyian oleh sebuah kumpulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!