Polis bongkar stor dadah bernilai RM 3.7 juta di kondominium

Mohd Shuhaily (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mohd Shuhaily (tiga dari kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah sebagai stor terbongkar selepas diserbu polis secara berasingan di Taman Segambut Aman dan Jalan Ampang pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menahan dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Iran berusia 39 dan 48 tahun serta merampas dadah jenis syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM 3.7 juta.

"Serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki di kawasan parkir di kondominium di Taman Segambut Aman, kita turut merampas dadah syabu seberat 4.2 kilogram (kg) di dalam sebuah kereta Toyota Estima," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, lelaki warga tempatan itu berperanan sebagai penghantar bungkusan dadah.

"Hasil soal siasat, kita menahan seorang lelaki warga Iran dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang dan turut merampas dadah jenis syabu (103.3 kg) dan ganja (34.7 kg)," katanya.

Mohd Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada Khamis.- Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Mohd Shuhaily (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada Khamis.- Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Beliau berkata, modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Kegiatan pengedaran dadah ini telah aktif beroperasi sejak Mei tahun lalu. Lelaki warga tempatan merupakan seorang penganggur dan masih berstatus bujang.

"Suspek warga Iran pula merupakan jurutera dan duda anak tiga, dia aktif mengedar dadah di negara asal sejak 2014. Suspek telah masuk ke Malaysia dengan menggunakan visa pelancong," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan dengan dadah melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!