Sarjan mengaku tak bersalah atas 21 pertuduhan rasuah

Che Ani menutup wajahnya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, pada Khamis.
Che Ani menutup wajahnya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini terhadap 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 pada 2017 hingga 2019.

Che Ani Ramli, 56 yang bertugas di Gerakan Polis Marin, Batu Uban membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Dia didakwa menerima suapan antara RM100 hingga hingga RM150 daripada seorang individu melalui akaun bank, yang mana individu itu terbabit dengan kerja-kerja rasmi membabitkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Plaza MWE, Georgetown dan Agro Bank di Taman Seri Indah, Balik Pulau di antara tarikh 19 Mac 2017 hingga 21 Jun 2019.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Che Ani memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan tertuduh perlu menanggung isteri dan empat orang anaknya termasuk tiga yang masih bersekolah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkannya menyerahkan dokumen perjalanan sehingga perbicaraan selesai serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!