Harimau Malaya belum cukup padu
PENGENDALI skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon mahu para pemain Harimau Malaya belajar dari kesilapan kecil ketika berdepan Kepulauan Solomon dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, pada Rabu.
Malah jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, kemenangan bergaya 4-1 ke atas pasukan ranking ke-134 dunia tersebut belum boleh dianggap sebagai satu permulaan yang baik.
Katanya, para pemain masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan-kelemahan yang masih terdapat dalam pasukan ranking 138 dunia itu bagi membentuk sebuah skuad yang lebih mantap.
"Ia bukanlah satu permulaan yang baik kerana kami mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih daripada empat gol namun masih ada kesilapan kecil yang kami perlu belajar daripada itu.
"Apapun saya tetap gembira kerana kita mengekalkan kemenangan di tempat sendiri. Tahniah kepada pemain dan terima kasih kepada penyokong yang hadir," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.
Menurut Pan-gon, skuad kendaliannya akan kembali bangkit dengan taktikal yang lebih rapi menjelang perlawanan menentang Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan di venue sama pada Selasa depan.
"Pemain juga manusia, bintang dunia juga melakukan kesilapan walaupun penjaga gol mereka bagus.
"Sekurang-kurangnya, ini menjadi pengajaran kepada para pemain bahawa dengan satu kesilapan, ia boleh menghukum pasukan," ujarnya.
Anak buah Pan-gon menampilkan corak permainan terpuji apabila bangkit ketinggalan satu gol untuk membenamkan Kepulauan Solomon 4-1.
Pasukan tuan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pelawat Raphael Le Ai pada minit ke-11 berikut kesilapan penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Gol itu menyaksikan para pemain negara menggandakan asakan memburu gol penyamaan yang dijelmakan pemain naturalisasi, Paulo Josue apabila meledak gol pada minit ke-40 sebelum Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan sepakan penalti minit ke-47 selepas dia dijatuhkan pertahanan lawan, Calvin Ohasio.
Debaran penyokong skuad kebangsaan pada babak kedua perlawanan seakan terhenti apabila pemain gantian, Safawi Rasid berjaya meledak gol ketiga Harimau Malaya hasil rembatan menarik pada minit ke-77.
Seorang lagi pemain gantian, Lee Tuck melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-91 sekali gus menceriakan lebih 12,000 penyokong yang hadir pada malam itu.
Kedudukan itu kekal sehingga pengadil Vietnam, Ngo Dyu Lan meniupkan wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan Malaysia dalam pertemuan pertama dengan negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!