Perdamaian Arab Saudi-Iran buka lembaran baharu

Proses rundingan itu bakal bawa kesan besar terhadap masyarakat dan dunia islam

A
A
A

No Image Caption

Baru-baru ini dunia telah dimaklumkan tentang persetujuan antara Arab Saudi dan Iran dalam memulihkan semula hubungan diplomatik selepas tujuh tahun bermusuhan.

Proses rundingan tersebut, telah berlaku di Beijing, di mana China berperanan menjadi orang tengah dalam memastikan hubungan diplomatik kedua-dua negara tersebut disepakati.

Dalam kesepakatan tersebut, Riyadh dan Tehran telah bersetuju untuk membuka semula kedutaan masing-masing dalam tempoh dua bulan.

Secara umumnya diketahui bahawa Arab Saudi dan Iran merupakan negara yang mempunyai pengaruh besar di Asia Barat.

Justeru, gabungan dua kuasa besar Asia Barat ini dilihat mempunyai peranan penting dalam usaha memulihkan semula konflik yang berlaku di negara-negara Asia Barat.

Rundingan tersebut juga telah mendapat reaksi positif dari negara-negara Islam yang lain dan telah memberi sedikit kelegaan apabila melihat Arab Saudi dan Iran kembali berdamai. Situasi ini akan memperlihatkan banyak perubahan besar yang akan berlaku khususnya dari sudut pengaruh, kekuasaan dan juga ekonomi.

Implikasi terhadap pengawalan ekonomi

Perdamaian Arab Saudi dan Iran dilihat dapat memberi impak yang besar terhadap pengawalan ekonomi khususnya dalam industri petroleum.

Kedua-dua negara tersebut adalah merupakan negara pengeksport minyak yang terbesar di bawah satu pertubuhan yang dikenali sebagai Organisation of the Petroleum Exporting Countries (OPEC).

Gabungan dua kuasa besar tersebut dilihat mampu menguasai pasaran minyak global, menentukan harga minyak dan juga mengawal kadar permintaan minyak dari negara-negara lain.

Situasi ini akan memperlihatkan bahawa negara-negara yang memerlukan minyak akan bergantung kepada negara yang mengawal pasaran minyak tersebut.

Justeru, negara yang mempunyai kekayaan dengan hasil minyak ini boleh disimpulkan mempunyai hak dan kekuatan besar dalam pengawalan ekonomi global.

Di samping itu Iran juga bersetuju untuk memulihkan hubungan ekonomi dengan negara serantau yang lain setelah berdamai dengan Arab Saudi.

Perkara ini dapat mewujudkan kerjasama yang baru dalam meningkatkan ekonomi dan juga dapat berkongsi kepakaran dan idea dengan negara-negara Arab yang lain.

Oleh itu, negara-negara serantau akan mendapat kelebihan dan manfaat hasil daripada kerjasama yang dijalankan dengan negara kuasa besar seperti Iran dan Arab Saudi.

Konklusinya, gabungan Arab Saudi dan Iran ini boleh dijustifikasikan sebagai kewujudan kuasa baharu dalam pengawalan ekonomi global pada masa akan datang di mana ekonomi pada masa kini dimonopoli oleh Amerika Syarikat dan China.

Pemulihan hubungan negara serantau

Pada masa kini, sering diuar-uarkan tentang berlakunya isu peperangan dan juga ketegangan politik yang melibatkan negara-negara serantau seperti yang berlaku di Palestine, Yaman, Syria, Labenon dan Iraq.

Keadaan ini menimbulkan keberangkalian yang menjelaskan bahawa tujuan sebenar Arab Saudi berdamai dengan Iran adalah untuk bekerjasama dalam menyelesaikan konflik yang berlaku di negara-negara serantau.

Hal ini kerana Arab Saudi dan Iran turut terlibat dalam isu yang berkaitan seperti perang saudara yang berlaku di Yaman.

Konflik perang saudara tersebut berlaku disebabkan perebutan kuasa dan wilayah yang berlaku antara pasukan kerajaan yang disokong oleh Arab Saudi dan juga pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran.

Dalam konflik tersebut membawa kesan bahawa seramai ribuan orang yang telah menjadi mangsa peperangan. Konflik tersebut juga telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan Arab Saudi di atas faktor pengeluaran kos peperangan yang terlalu tinggi.

Justeru, Arab Saudi meminta Iran supaya mengakhiri persengketaan ini supaya perkara yang merugikan semua pihak ini tidak berlanjutan.

Kerjasama antara Arab Saudi dan Iran adalah merupakan salah satu langkah awal dalam usaha membaik pulih hubungan dan menamatkan persengketaan yang berlaku di Yaman.

Begitu juga dengan isu-isu negara serantau yang lain sudah tentu dapat diselesaikan dengan mudah apabila kerjasama antara Arab Saudi dan Iran berlaku. Ini kerana kedua-dua negara tersebut mempunyai peranan dan pengaruh yang penting dalam meredakan konflik serantau yang berlaku pada masa kini.

Penyelesaian konflik di Palestin

Perkhabaran tentang perdamaian Arab Saudi dan Iran ini mungkin telah menjadi suatu berita yang menggembirakan bagi masyarakat Islam di dunia ini kerana dua kuasa besar Islam ini telah bersatu semula.

Namun, pemulihan hubungan antara kedua-dua negara tersebut telah menjadi igauan buruk terhadap Israel. Ini kerana, Israel berada dalam fasa perancangan untuk bekerjasama dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi.

Kesannya, perkara tersebut telah meletakkan Israel dalam keadaan yang sukar kerana sebagaimana yang diketahui umum bahawa hubungan antara Israel dan Iran secara realitinya pada masa kini berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Hal tersebut akan menjadi perkara yang menakutkan bagi Israel yang telah beranggapan bahawa hasil perdamaian kedua-dua negara tersebut akan memberi masalah besar terhadap Israel dalam usaha meluaskan jajahannya di Palestine.

Perkara tersebut dapat dilihat setelah berlakunya penyatuan negara serantau hasil kerjasama Arab Saudi dan Iran. Rentetan daripada situasi itu, akan mendorong pihak tertentu untuk bersuara tentang permasalahan yang berlaku antara Palestine dan Israel.

Justeru, akan berlaku desakan dari pelbagai pihak terhadap Arab Saudi dan Iran agar dapat berganding bahu dalam menyelesaikan isu yang berlaku di Palestine.

Kesannya perkara tersebut akan memberi tamparan hebat terhadap Israel yang mana melihat Arab Saudi dan Iran akan turut masuk campur dalam hal tersebut.

Akhir kata, kerjasama antara Arab Saudi dan Iran ini dilihat dapat membantu dalam usaha menyekat misi penjajahan Israel di Palestine yang telah sekian lama berlaku.

Selain itu permuafakatan yang bakal wujud ini akan menjadi simbolik kepada usaha membuka lembaran baharu penyatuan negara-negara Islam.

*Prof Dr. Roslan Mohd Nor & Muhammad Ridhuan Yusnan

Pensyarah & Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya (UM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!